Konflik India-Pakistan: Pelajar Malaysia perlu sentiasa hubungi kedutaan - Dr Maszlee

Wan Syamsul Amly
Mac 1, 2019 15:41 MYT
DR MASZLEE: Kita dapati setakat ini pelajar Malaysia di India dan Pakistan akan sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan. - Foto Bernama
Pelajar Malaysia di India dan Pakistan perlu sentiasa menghubungi kedutaan negara di sana susulan konflik antara dua negara itu minggu lalu.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek berkata, pihaknya juga sentiasa mendapat perincian terkini tentang apa yang sedang berlaku di kedua-dua negara berkenaan.
"Kita telah mendapat perincian terkini, kita dapati setakat ini pelajar kita akan sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan dan jika apa-apa perkara berlaku, kita mempunyai prosedur operasi standard (SOP) kita sendiri dan kita minta pelajar sentiasa berhubung rapat dengan pihak kedutaan," katanya semasa sidang media selepas melancarkan Kelab UNESCO dan Model United Nations (MUN) di sini, pada Jumaat.
Baru-baru ini, Pakistan menembak jatuh dua pesawat pejuang India di kawasan genjatan senjata yang menjadi pertikaian kedua negara, Kashmir.
Ia sekali gus menyebabkan hubungan antara kedua jiran berkenaan kembali tegang.
Langkah itu dilakukan sehari selepas India melakukan serangan udara di kawasan sama, tindakan berani pertama negara itu dalam tempoh 50 tahun, dipercayai untuk membanteras aktiviti keganasan.
Sementara itu, Pakistan menegaskan, serangan yang dilakukan disasarkan kepada kawasan bukan ketenteraan di sempadan itu dan tidak memasuki ruang udara India dan ia bertujuan menunjukkan kemampuan pertahanan negara itu.
Namun kedua negara menegaskan tidak berniat untuk melakukan sebarang ketegangan.
India dalam pada itu menegaskan serangan yang dilancarkan pada Selasa disasar ke kem militan Jaish-e-Mohammed (JeM) yang didakwa terlibat dalam serangan bom bunuh diri pada 14 Februari membunuh 40 orang di Kashmir.
Kini India telah menutup sekurang-kurangnya empat lapangan terbang di kawasan utara negara itu, termasuk di Pathankot, Leh, Srinagar, Jammu dan Amritsar, menurut kenyataan seorang pegawai kerajaan India kepada portal berita Reuters.
Kedua-dua negara itu telah berperang sebanyak tiga kali sejak kemerdekaan daripada pemerintahan kerajaan British pada tahun 1947 dan hampir berperang pada tahun 2002 selepas Pakistan melancarkan serangan militan ke Parlimen India.
#bom #India #militan #model #operasi #Pakistan #Parlimen #pelajar #pendidikan #pesawat #serangan #SOP #Unesco
;