Konflik Gaza cabar hati nurani setiap manusia - Khaled Nordin
Faida Rahim
Jun 2, 2024 13:20 MYT
Jun 2, 2024 13:20 MYT
SINGAPURA: Konflik di Gaza telah mencabar hati nurani seorang manusia serta menguji keberanian penduduk dunia untuk menentang dan mengutuk tindakan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel.
Ringkasan AI
- Menteri Pertahanan Datuk Seri Khaled Nordin menegaskan bahawa Malaysia mendukung gencatan senjata segera di Gaza dan menyambut baik setiap usul yang membantu mencapai tujuan tersebut.
- Khaled menekankan bahawa rakyat Palestin harus diberikan hak penuh untuk menentukan nasib mereka sendiri, termasuk hak untuk kemerdekaan dan kedaulatan negara, serta hak untuk kebebasan bergerak.
- Khaled berkata cadangan tiga fasa oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden untuk gencatan senjata di Gaza adalah satu langkah ke arah yang tepat.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Khaled Nordin berkata Malaysia kekal dengan pendirian menyokong gencatan senjata serta-merta dan menyambut baik sebarang cadangan yang membantu ke arah mencapai matlamat itu.
"Kami mengambil maklum cadangan tiga peringkat yang diumumkan baru-baru ini oleh Presiden (Joe) Biden.
"Kami percaya bahawa rakyat Palestin mesti diberi hak penuh untuk menentukan nasib sendiri dan maruah; hak untuk kemerdekaan dan kedaulatan negara dan hak untuk kebebasan bergerak," katanya.
Bercakap pada Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-21 Dialog Shangri-La 2024 (SLD24), Khaled berkata cadangan tiga fasa oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden untuk gencatan senjata di Gaza adalah satu langkah ke arah yang tepat.
Dalam masa sama, Khaled menegaskan rakyat Palestin harus diberi hak sepenuhnya untuk menentukan nasib dan martabat negara sendiri, hak kebebasan nasional dan kedaulatan, serta hak kebebasan bergerak.
Khaled turut mengalu-alukan komitmen yang dinyatakan oleh Presiden Indonesia terpilih Probowo Subianto dalam ucapan istimewanya semalam, bahawa usaha aktif dan berkesan untuk penyelesaian yang kekal harus disokong oleh seluruh masyarakat antarabangsa.
Sementara itu, Khaled juga menegaskan pandangan yang diambil oleh Timbalan Perdana Menteri Australia Richard Marles semasa sesi plenari ketiga bahawa rejim Zionis perlu menghormati serta mematuhi perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Khaled mengadakan lawatan kerja rasmi selama empat hari ke Singapura bermula semalam sempena Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan (FDMM) Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan Dialog Shangri-La.
Lawatan itu adalah yang pertama sejak beliau dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada Disember tahun lalu.