Kondominium mewah lokasi promosi judi dalam talian diserbu, 6 ditahan
Astro Awani
Februari 8, 2022 09:03 MYT
Februari 8, 2022 09:03 MYT
SERDANG: Sebuah unit kediaman kondominium mewah di Taman Pinggiran Putra Serdang, di sini, yang dipercayai dijadikan calling centre markas perjudian diserbu malam tadi.
Enam individu warga tempatan ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan IPD Serdang jam 10 malam tadi.
Menurut pegawai turus DSP Zuhairee Mohamad Rashid, suspek lima lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 36 tahun itu didapati menjadi operator perjudian dengan upah RM2,000 ke RM3,000 sebulan.
Mereka dipercayai mempromosi dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dengan menyasarkan pelanggan tempatan, kata Zuhairee.
Tambahnya, sindiket dipercayai beroperasi sejak lebih 3 bulan lalu dan menggunakan aplikasi WeChat untuk mempromosi aktiviti perjudian dalam talian.
Siasatan awal mendapati, urusan transaksi dilakukan secara dalam talian berdasarkan beberapa akaun disyaki akaun keldai yang dijadikan tempat untuk tujuan memasukkan wang dan memindahkan wang kepada pelanggan tempatan.
Dalam serbuan itu, polis merampas beberapa telefon bimbit, komputer riba, set komputer, wifi, router, modem dan beberapa keping kad debit pelbagai bank.
Kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke IPD Serdang untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a),(c) dan Seksyen (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.