Kon Yeow akui tidak tahu senarai darjah kebesaran Pulau Pinang bocor

Sinar Harian
Julai 14, 2024 16:34 MYT
Kon Yeow berkata, beliau hanya mengetahui perkara itu setelah diajukan soalan oleh wartawan pada Ahad. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengakui tidak mempunyai maklumat berhubung senarai penerima Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang yang didakwa telah tersebar lebih awal dalam kalangan orang awam.
Kon Yeow berkata, beliau hanya mengetahui perkara itu setelah diajukan soalan oleh wartawan pada Ahad.
"Saya tidak tahu tentang perkara ini. Ini satu berita buat saya. Saya tidak terima apa-apa maklumat setakat ini.
"Mengenai kebocoran senarai nama penerima pingat, memang saya tidak tahu langsung," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku 'Musings In George Town' di sini pada Ahad.
Sebelum ini, ada khabar angin mendakwa senarai Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena sambutan Ulang Tahun ke-75 Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak telah tersebar di aplikasi WhatsApp sejak beberapa hari lalu.
Senarai itu tidak sepatutnya tersebar lebih awal berikutan majlis sambutan tersebut hanya akan bermula pada hujung bulan ini.
Menjawab mengenai dakwaan ada beberapa individu yang telah mendapat darjah kebesaran dalam tempoh kurang tiga tahun lalu, turut tersenarai dalam senarai bagi tahun ini, Kon Yeow berkata, ia tidak sepatutnya berlaku sekiranya dakwaan itu benar.
"Kerajaan Pulau Pinang mempunyai satu sistem yang akan sekat nama yang telah dikurniakan darjah kebesaran dalam tempoh tiga tahun lalu.
"Bermakna, jika seseorang individu itu telah menerima pingat pada tahun lalu atau dua tahun lalu, namanya akan 'ditolak' oleh sistem sebagai penerima bagi tahun ini. Sistem itu juga akan menyekat nama yang ada isu dengan insolvensi atau kes polis," jelasnya. - Sinar Harian
#Chow Kon Yeow #senarai nama #darjah kebesaran #bocor
;