Komuniti tidak bertanggungjawab lahirkan budaya tak ada adab - Ibrahim Bajunid
Nursyazwani Saiful Sham
Januari 18, 2018 06:00 MYT
Januari 18, 2018 06:00 MYT
Komuniti setempat tidak kira sama ada di kampung, setinggan mahupun di pangsapuri, mereka perlu ada tanggungjawab bersama.
Ini yang cuba ditekankan oleh bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki, Profesor Emeritus, Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid.
“Jika kita lihat pada negara maju, mereka mempunyai budaya penyelenggaraan dan pemantauan terhadap penduduk berkomuniti yang sistematik.
“Mereka mempunyai undang-undang tersendiri. Walaupun negara kita ada cara yang sama, tetapi pemantauan terhadap penyelenggaraan tersebut tidak kukuh,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambahnya, budaya berkomuniti di negara ini adalah budaya yang tidak bertanggungjawab kerana kejadian seperti membuang sampah dari tingkat atas bagi perumahan pangsapuri sering berlaku.
“Kita ambil contoh di kawasan Mont Kiara yang rata-ratanya adalah penghuni dari negara Korea dan Jepun, mereka membawa budaya negara mereka yang mengamalkan nilai tanggungjawab terhadap kebersihan rumah sendiri dan kawasan kejiranan.
“Berbeza dengan negara kita yang mana di perumahan pangsapuri, sampahnya berselerak, pengurusan daerah yang kurang memuaskan. Di situ kita nampak perbezaan negara maju dan negara ini,” tegasnya.
Justeru, Ibrahim menegaskan agar masyarakat negara ini perlu mempunyai adab kejiranan bagi memupuk sifat bertanggungjawab apabila hidup dalam kehidupan berkomuniti.
#adab
#Astro Awani
#budaya berkomuniti
#Ibrahim Ahmad Bajunid
#Jepun
#komuniti
#Korea
#pangsapuri
#perumahan
#PPR
#tanggungjawab
#undang-undang