Komuniti sains Antartika terima pengiktirafan di Kuala Lumpur

Bernama
Ogos 25, 2016 23:42 MYT
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wilfred Madius Tangau berucap pada majlis makan malam sempena Open Science Conference malam ini. - Foto Bernama
Anggota Komuniti Sains Antartika menerima pengiktirafan tertinggi pada majlis makan malam pada Khamis persidangan sains terbuka Jawatankuasa Saintifik Penyelidikan Antartika (SCAR) 2016 di sini.
Presiden SCAR Prof Dr Jeronimo Lopez-Martinez menyampaikan pingat serta sijil penghargaan kepada penerima yang telah menunjukkan komitmen dalam penyelidikan Antartika.
Antara penerima pingat ialah Dr Heinrich Miller dari Alfred Wegener Institute, Jerman yang dipilih untuk menerima pingat SCAR 2016 untuk penyelarasan antarabangsa.
Dr Miller dipilih atas sumbangan saintifik beliau dalam bidang geofizik dan aplikasi kepada penyelidikan ais.
Sementara itu, Dr Robert Dunbar dari Amerika Syarikat dipilih untuk menerima pingat kecemerlangan SCAR 2016 dalam Penyelidikan Antartika manakala Prof Francisco Herve menerima pingat Presiden SCAR 2016 atas pencapaian cemerlangnya.
Malaysia adalah negara Asia pertama menjadi tuan rumah mesyuarat dwitahunan dan persidangan sains itu, yang bermula pada 20 Ogos dan memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan Antartika dan pada masa sama memberi peluang kepada saintis untuk membentangkan kerja-kerja mereka.
Majlis makan malam itu dihoskan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau.
#Komuniti Sains Antartika #Madius Tangau #Menteri Sains #Teknologi dan Inovasi