Komuniti perniagaan Malaysia di Indonesia kukuhkan hubungan pasca pandemik
Bernama
September 26, 2022 15:53 MYT
September 26, 2022 15:53 MYT
JAKARTA: Malaysia Chambers Jakarta (MCJ) komited mahu menjadi platform efektif untuk ahlinya dalam bidang perniagaan mahupun sosial di era pasca pandemik COVID-19.
Presidennya, Raja Elona Safinaz Raja Safian berkata, MCJ akan memanfaatkan media sosial dalam menyebarkan informasi untuk menarik penglibatan lebih ramai warga Malaysia di seluruh Indonesia.
"Saat ini kami beraspirasi menghidupkan kembali MCJ untuk menjadi sebuah kelab sosial.
"Kita akan kumpulkan kembali keluarga dan ahli melalui acara-acara seperti hari keluarga, majlis makan malam dan kebudayaan," katanya.
Raja Elona Safinaz dilantik untuk tempoh 2022-2024 menggantikan Alan Alaidin dalam mesyuarat agung di dewan Kedutaan Malaysia di Jakarta Selatan yang dihadiri kira-kira 90 ahli perniagaan.
Beliau menghargai Alan serta jawatankuasanya atas sumbangan dan dedikasi beliau sepanjang tiga tahun lalu berhadapan situasi pandemik COVID-19 yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
MCJ, yang dahulunya dikenali sebagai Malaysia Club Jakarta, ialah platfom mengeratkan hubungan rakyat Malaysia, mewujudkan peluang perniagaan yang lebih baik, memupuk hubungan dengan komuniti tempatan dan bekerjasama dengan organisasi perniagaan di Indonesia.
Organisasi yang majoriti ahlinya telah lama menetap di sini serta memahami budaya tempatan sedia membantu ahli perniagaan Malaysia yang berdepan cabaran termasuk dalam urusan visa dan dokumentasi.
Awal bulan ini Presiden Indonesia, Joko Widodo menzahirkan rasa kecewa dan mengarahkan urusan imigresen berkaitan kad izin tinggal sementara dan visa ditingkatkan untuk mempermudah kemasukan pelabur, warga asing dan pelancong.
Sementara itu, Kuasa Usaha Sementara di kedutaan, Adlan Mohd Shaffieq percaya MCJ akan menyokong aktiviti membabitkan rakyat Malaysia dan memberi khidmat runding cara, interaksi dan perangkaian.
"Kita mahu mendengar pandangan dan nasihat bukan sahaja perdagangan dan investasi tetapi isu-isu lain sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama antara kedutaan dan MCJ," katanya.
Usaha ini seiring dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu perwakilan diplomatik menarik kemasukan lebih ramai pelabur asing dan meluaskan eksport. - BERNAMA