Komuniti maritim di Kedah diingatkan berwaspada fenomena air pasang besar
Adie Sufian Zulkefli
Januari 3, 2022 15:45 MYT
Januari 3, 2022 15:45 MYT
ALOR SETAR: Komuniti maritim terutama nelayan, pemancing dan pengunjung pantai peranginan dinasihatkan berwaspada serta menangguhkan dahulu aktiviti membabitkan perairan susulan cuaca buruk di negeri Kedah dan kebanyakan negeri ketika ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, ini kerana perairan negeri ini terutama di Kuala Muda diramalkan berlaku air pasang besar dengan tiupan angin Monsun Timur Laut yang lebih kuat sehingga 5 Januari ini.
Beliau berkata, keadaan laut ketika ini juga adalah berbahaya kepada bot-bot kecil berikutan hujan lebat dan laut bergelora dengan ombak boleh mencapai ketinggian 1.5 sehingga 2.5 meter.
Katanya, ini berikutan perairan Kedah bakal menerima tiupan angin lebih kencang dan berterusan dengan kelajuan boleh mencecah sehingga 50 hingga 60 kilometer (km) sejam berserta hujan lebat.
"Kebanyakan nelayan yang berdaftar di negeri ini adalah nelayan Kelas A yang menggunakan bot kecil untuk menangkap ikan.
“Dengan cuaca yang buruk pada masa sekarang, ada kemungkinan bot mudah terbalik apabila dibadai ribut dan ombak yang kuat.
"Bagaimanapun, sekiranya masih perlu ke laut, mereka harus sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan dengan memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca terlebih dahulu serta memastikan bot dalam keadaan selamat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Jelasnya, mereka juga perlu membawa Peranti Pengesan Peribadi yang membantu mempercepatkan bantuan di laut, jika berlaku sebarang kecemasan selain menghubungi talian Pusat Operasi Maritim yang beroperasi 24 jam.
Kawasan operasi dan carilamat di bawah tanggungjawab Maritim Kedah adalah seluas 164 batu nautika dari Kuala Sanglang ke Kuala Muda.