PUTATAN: Komuniti MADANI di negara ini memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat terutama mengenai dasar kerajaan kepada rakyat dan seterusnya menyalurkan maklum balas rakyat di peringkat akar umbi kepada kerajaan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.


Ringkasan AI
  • Komuniti MADANI penting dalam menyampaikan maklumat dasar kerajaan kepada rakyat dan memberikan maklum balas rakyat kepada kerajaan, menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
  • Fahmi menekankan pentingnya hubungan erat antara Komuniti MADANI dengan Kementerian Komunikasi dan Jabatan Penerangan untuk merealisasikan komunikasi dua hala yang efektif.
  • Fahmi juga meminta Jabatan Penerangan proaktif memberi penjelasan mengenai dasar kerajaan, termasuk penyasaran subsidi, untuk memastikan maklumat tepat disampaikan dan mengelakkan persepsi salah.


Sehubungan itu, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan mahu hubungan erat dua hala antara Komuniti MADANI dengan Kementerian Komunikasi dan agensi di bawahnya terutama Jabatan Penerangan dikekalkan bagi merealisasi hasrat itu.

Beliau turut memberikan komitmen untuk sentiasa mendengar isu dan permasalahan berbangkit yang dibawa oleh Komuniti MADANI seterusnya membawa isu terbabit kepada pengetahuan pihak berkaitan dalam Kerajaan MADANI bagi tindakan segera.

"Harapan saya hubungan erat rakan Komuniti MADANI dan Jabatan Penerangan juga kementerian (Komunikasi) dapat wujudkan sinergi yang baik... rakan Komuniti MADANI bantu sampaikan maklumat ke akar umbi, juga salurkan masalah dihadapi di akar umbi hingga sampai ke pejabat saya.

"Ini kita harap ada komunikasi dua hala yang lebih cergas, lebih baik dan lebih bermanfaat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sembang Santai Komuniti MADANI Parlimen Putatan di sini hari ini.

Terdahulu, ketika berucap dalam program berasingan iaitu Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Komunikasi untuk Zon Sabah dan Labuan di Penampang, Fahmi meminta Jabatan Penerangan supaya proaktif memberi penjelasan kepada rakyat mengenai dasar kerajaan termasuk isu penyasaran subsidi.

Beliau berkata ini penting untuk memastikan maklumat tepat berkaitan setiap langkah yang diambil kerajaan dapat disampaikan secara jelas kepada masyarakat sekali gus mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mencipta persepsi tidak betul.

"Penjimatan diperoleh melalui penyasaran semula subsidi disalurkan terus kepada rakyat melalui lebih banyak inisiatif yang akan dilaksanakan sekali gus menambah pendapatan rakyat dan mengelakkan subsidi jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Fahmi berkata kerajaan MADANI juga sedang berusaha menaikkan pendapatan negara termasuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti selain melakukan anjakan kepada landasan pertumbuhan negara.

"Negara ketika ini tidak boleh bergantung harap hanya kepada sektor huluan seperti eksport minyak mentah, minyak sawit atau balak semata-mata sebaliknya perlu melihat kepada sektor hiliran," katanya.

Beliau berkata pendapatan rakyat juga perlu ditingkatkan dan atas dasar itu, penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji pada 1 Dis ini manakala di pihak swasta pula, sebanyak 1,000 syarikat akan mula bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bulan ini bagi pelaksanaan program dasar gaji progresif.

-- BERNAMA