Komuniti India perlu bertenang, jangan bertindak melulu - Waytha Moorthy
Harits Asyraf Hasnan
November 27, 2018 14:10 MYT
November 27, 2018 14:10 MYT
Komuniti India di Malaysia diseru untuk bertenang dan tidak bertindak melulu susulan kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman dekat Seafield, Subang Jaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy menegaskan Kerajaan memandang serius kejadian itu dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap mereka yang mengancam keamanan dan keselamatan awam.
“Saya meminta masyarakat India Malaysia bertenang dan bersikap rasional dalam menghadapi isu kuil Sri Maha Mariamman di Seafield kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dengan menghasut suatu pergolakan sosial.
“Isu kuil tersebut adalah diantara pemaju tanah, di mana kuil itu terletak dan pengurusan kuil dan ia tidak seharusnya dieksploitasi untuk menjadi konflik perkauman.
“Serangan oleh sebuah kumpulan yang tidak dikenalpasti ke atas One-City Mall malam tadi, adalah tidak wajar dan boleh dikatakan sebagai tindakan provokatif bertujuan untuk mengganggu keamanan dan kestabilan yang dinikmati rakyat Malaysia umumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau pada masa sama menggesa polis mengambil tindakan segera dalam membendung keganasan yang dilakukan oleh beberapa kumpulan yang berselindung disebalik niat untuk menjaga nama kuil itu.
“Saya juga menggesa jawatankuasa pengurusan kuil untuk mengawal dan memastikan keselamatan penganut kerana ia adalah tanggungjawab mereka untuk melindungi para penganut yang datang ke kuil tersebut.
“Ini berikutan tindakan satu kumpulan yang berkumpul di kuil itu lewat malam tadi telah memutuskan untuk berarak ke One-City Mall dan memecahkan tingkap di bangunan itu, yang dikatakan dimiliki oleh pemaju tanah di mana kuil itu terletak,” tambahnya.
Beliau turut mengkritik tindakan sekumpulan lelaki yang memukul seorang anggota bomba ketika cuba untuk memadamkan kebakaran sebuah kereta malam tadi.
#bomba dipukul
#Jabatan Perdana Menteri
#kekecohan di kuil
#keselamatan
#kuil sri maha mariamman
#One-City Mall
#P Waytha Moorthy
#Pengurusan Kuil
#seafield
#Subang Jaya
#tindakan provokatif