Komuniti antarabangsa perlu pantau, pastikan Rohingya selamat di negara asal
Harits Asyraf Hasnan
Jun 23, 2019 19:21 MYT
Jun 23, 2019 19:21 MYT
Badan pemantau antarabangsa perlu memantau proses penghantaran pulang etnik Rohingnya ke wilayah asal mereka di Rakhine, Myanmar.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan perkara itu dalam Sesi Pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 di Bangkok hari ini.
“Saya cakap berkenaan Rohingya termasuk berkenaan laporan (pelan penghantaran pulang) yang dibuat itu tidak mengambil kira pandangan migran atau pelarian (Rohingya).
“Pendapat mereka mesti diambil kira kerana mereka takut untuk balik ke Rakhine.
“Kita (Malaysia) berharap, kalau mereka (etnik Rohingya) kembali (ke negara asal), komuniti antarabangsa boleh terus memantau dan pastikan mereka tidak dikenakan sebarang tindakan oleh Myanmar,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia mengakhiri lawatan kerja empat hari beliau di negara ini.
Ditanya sama ada beliau ada mengadakan perbincangan empat mata dengan pemimpin utama Myanmar, Aung San Suu Kyi, Dr Mahathir berkata:
“Dia duduk sebelah saya, (jika ikut) susunan huruf, dia sebelah saya. Makan pun sebelah saya. Tapi yang bercakap pasal Rakhine ialah Indonesia. Dia (Jokowi) cakap satu subjek saja. Saya cakap macam-macam, macam biasa,” ujarnya.
#asean 2019
#auu san suu kyi
#etnik rohingya
#isu rohingya
#Mahathir Mohamad
#Muslim
#myuanmar
#pelarian
#Rohingya
#sidang kemuncak