Komuniti antarabangsa perlu laksana tindakan segera tamatkan krisis Myanmar - MAGM
Bernama
April 14, 2023 06:12 MYT
April 14, 2023 06:12 MYT
KUALA LUMPUR: Masyarakat antarabangsa perlu mengambil tindakan segera bagi menamatkan krisis di Myanmar dan meminta rejim tentera bertanggungjawab di atas tindakannya, kata Pengerusi Kumpulan Penasihat Malaysia mengenai Myanmar (MAGM) Tan Sri Syed Hamid Albar.
Sambil mengutuk serangan udara ke atas sebuah perkampungan di Perbandaran Kanbula di Wilayah Sagaing pada Selasa yang telah mengorbankan sehingga 100 orang termasuk wanita dan kanak-kanak, beliau berkata penggunaan kekerasan secara sembarangan terhadap orang awam adalah melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
MAGM mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara ini dan menyeru rejim Myanmar untuk menamatkan kempen keganasannya terhadap rakyat jelata.
"Kami bersolidariti dengan rakyat Myanmar dalam perjuangan mereka menuntut keamanan, keadilan, dan demokrasi," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Syed Hamid menegaskan bahawa kegagalan untuk menghentikan keganasan terhadap orang awam di Myanmar adalah petanda paling jelas bahawa Konsensus Lima Perkara ASEAN semakin menuju kegagalan.
"Kami menyeru semua negara anggota ASEAN untuk melaksanakan tekanan tegas terhadap Myanmar agar segala bentuk keganasan terhadap orang awam dihentikan serta merta sebelum lebih ramai nyawa tidak berdosa terkorban," katanya.
Syed Hamid berkata konflik di Myanmar telah mengakibatkan serangan berleluasa dan sistematik terhadap orang awam oleh pasukan keselamatan.
Ini termasuk membunuh penunjuk perasaan, kehilangan secara paksa, penyeksaan, penderaan seksual, rogol dan penahanan besar-besaran.
"Ramai daripada 1,200 mangsa yang terbunuh sejak rampasan kuasa adalah penunjuk perasaan yang tidak bersenjata serta orang awam.
"Pasukan keselamatan telah menggunakan kekerasan yang membawa maut, walaupun tiada ancaman yang jelas," katanya.
Syed Hamid berkata, serangan udara di Kampung Pazi Gyi disusuli beberapa das tembakan dari helikopter tempur Mi-35, menyebabkan lebih banyak kerosakan kepada masyarakat setempat yang sudah terjejas.
Menurut sumber tempatan, kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun adalah antara korban paling muda dalam serangan itu, katanya.
"Insiden ngeri ini hanyalah satu contoh keganasan yang semakin memuncak di Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, serta melanggar Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa dan Konvensyen Geneva," katanya.
-- BERNAMA