Komunikasi antara pemain industri jamin tenaga kerja masa depan - MEF

Bernama
Julai 1, 2023 14:03 MYT
Syed Hussain mencadangkan supaya kerajaan membenarkan sektor swasta menggunakan peralatan dan kemudahan institusi latihan awam untuk melatih pekerja. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Usaha meningkatkan kemahiran pekerja yang dilengkapi dengan pengetahuan dan kecekapan bagi menghadapi gelombang teknologi yang semakin pesat memerlukan rangka strategi dan komunikasi yang jelas antara kerajaan dan pemain industri.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata susulan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), beberapa teknologi sudah mula digunakan untuk mengautomasikan tugas dalam pelbagai industri termasuk pembuatan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan pelanggan.
"Laporan Forum Ekonomi Dunia menyatakan bahawa untuk kekal bekerja dalam tempoh dua tahun akan datang, 50 peratus pekerja perlu meningkatkan kemahiran dan dilatih semula. Peningkatan kemahiran dan latihan semula ini melibatkan proses untuk 'learn, unlearn and relearn' dan perlu dilakukan dengan sistematik.
"Dengan kemajuan pesat dalam bidang IR 4.0, perniagaan perlu dibantu daripada organisasi tegar dengan proses dan sistem manual kepada tempat kerja yang didayakan secara digital, tangkas, fleksibel yang memanfaatkan kuasa data dan analitik supaya dapat meningkatkan pengalaman pelanggan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau mencadangkan supaya kerajaan membenarkan sektor swasta menggunakan peralatan dan kemudahan institusi latihan awam untuk melatih pekerja terutamanya pada waktu malam dan hujung minggu apabila tempat latihan berkenaan tidak digunakan, dalam meningkatkan kemahiran pekerja.
"Selain itu, kerajaan hendaklah menubuhkan agensi pusat Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Kebangsaan. Badan seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) belum lagi diwujudkan untuk institusi ini. Tiada badan berpusat untuk menjajarkan dan menanda aras program TVET.
"Oleh itu kerajaan melalui agensinya hendaklah meningkatkan pengambilan graduan TVET dan hanya dengan mempunyai unit pemantauan pusat penanda aras yang betul dan komunikasi baik akan dapat mengubah tanggapan negatif terhadap TVET " katanya.
Syed Hussain turut memaklumkan bahawa peratusan tenaga mahir masih sekitar 28 peratus walaupun sasaran adalah untuk meningkatkannya kepada 35 peratus sejak beberapa tahun yang lalu.
"Perlu dinyatakan bahawa di kebanyakan negara maju peratusan tenaga mahir secara amnya melebihi 50 peratus. Oleh itu terdapat keperluan untuk mengiktiraf kemahiran pekerja sedia ada terutamanya melalui program Pengiktirafan Pembelajaran Terdahulu (RPL)," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pembangunan TVET Nasional Mohamad Yaccob berkata setakat ini terdapat beberapa program TVET sudah mula mengguna teknologi baharu dalam mendepani IR 4.0 bagi memastikan kebolehpasaran graduan dengan keperluan industri pada masa kini dan akan datang.
"Kita juga perlu melihat kepada permintaan daripada industri, jadi kita boleh banyakkan lagi institusi TVET yang memerlukan graduan berkemahiran seperti dalam bidang automasi, mekatronik dan lain-lain berdasarkan keperluan.
"Namun masih terdapat perkara yang perlu diberi perhatian dan dikaji secara mendalam oleh semua pihak yang terbabit dalam merancang keperluan industri kerana kita bimbang sekiranya graduan sudah bersedia dengan kemahiran baharu tapi peluang pekerjaan masih belum ada," katanya.
Mohamad berkata pada masa kini antara isu yang dibangkitkan adalah tentang ketidaksepadanan kemahiran dan peluang pekerjaan bagi graduan TVET yang membelenggu institusi dan pemain industri.
"Oleh itu, pemain industri dan institusi TVET perlu berkomunikasi dan bergandingan bersama-sama dalam hal ini supaya jelas peralatan yang bagaimana diperlukan, berapa jumlah tenaga mahir dan beberapa lagi faktor lain supaya pihak TVET dapat merancang bagi memenuhi tenaga kerja selari dengan perubahan Revolusi Industri 4.0," katanya.
Pada 26 Jun lepas, Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar memaklumkan 4.5 juta rakyat Malaysia berkemungkinan hilang pekerjaan menjelang 2030, sekiranya mereka tidak meningkatkan kemahiran (reskilling) dan melaksanakan latihan semula (upskilling).
Berikutan itu, RM7.2 juta diperuntukkan bagi melengkapkan pekerja dengan pengetahuan dan kecekapan yang diperlukan oleh industri seperti mekatronik, kejuruteraan elektrik dan elektronik, analisis data serta teknologi maklumat.
-- BERNAMA
#Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia #pekerja mahir #Syed Hussain Syed Husman #Revolusi Perindustrian 4 0
;