Komposer terkenal A. Ali meninggal dunia

Astro Awani
November 21, 2020 11:29 MYT
Sebelum menyertai Kembara, A. Ali (gambar) merupakan pemain gitar untuk kumpulan Sweet Charity. - Foto Magnusazmi
KUALA LUMPUR: Komposer terkenal A. Ali atau nama sebenarnya Hamdan Atan meninggal dunia pagi ini di kediamannya di Semenyih.
Allahyarham berusia 71 tahun difahamkan meninggal dunia di dalam tidur dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan, Kajang selepas solat Zohor.
Ketika hayatnya Allahyarham merupakan bekas anggota kumpulan Kembara serta pengasas kumpulan Pelangi,
Allahyarham A. Ali ketika bersama Kembara sangat terkenal dengan lagu Penjual Surat Khabar dan Oh Bulan.
Manakala ketika menganggotai kumpulan Pelangi, A. Ali sempat popular dengan lagu berjudul Biarku Menjadi Lilin.
Sebagai komposer pula A. Ali diingati dengan lagu Menaruh Harapan dendangan Zaiton Sameon dan Rayuanku oleh Rohana Jalil serta beberapa lagu lain.
Berita pemergian A. Ali dimaklumkan kepada Astro AWANI oleh isteri kepada Datuk M.Nasir, Datin Marlia Musa.
A Ali pernah menganggotai kumpulan kembara bersama M.Nasir dan S.Sahlan pada awal tahun 1980-an dan banyak menghasilkan lagu untuk kumpulan itu serta beberapa penyanyi hebat tanah air.
#meninggal dunia #A Ali #Hamdan Atan #komposer #Lagu #kembara #pelangi #pemain gitar #penggubah lagu #Sweet Charity #Kajang #Zaiton Sameon #Menaruh Harapan #Rohana Jalil #Marlia Musa #M Nasir #Rayuanku
;