Komplot guling Tun M tidak benar - Mat Sabu
Asyraf Roslan
Februari 20, 2019 10:40 MYT
Februari 20, 2019 10:40 MYT
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu menolak dakwaan wujud undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bakal diusulkan di Parlimen oleh Pakatan Harapan (PH).
Menurut Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, Amanah melihat perkara itu sebagai khabar angin yang sengaja dimainkan parti lawan untuk mengalih pandangan rakyat.
Katanya, ia sengaja ditimbulkan di tengah-tengah pertuduhan dan siasatan terhadap segelintir pemimpin parti pembangkang, khususnya Pas, serta krisis kepimpinan yang sedang membelit parti itu sehingga mengikis kepercayaan ahli mereka.
"Ingin ditegaskan bahawa, tidak timbul langsung soal undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir.
"Amanah dan parti-parti komponen lain dalam PH sentiasa teguh di belakang Dr Mahathir dalam usaha melakukan reformasi menyeluruh dan menambah baik tadbir urus negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Amanah dan PH sentiasa teguh di belakang Dr Mahathir dalam usaha melakukan reformasi menyeluruh dan menambah baik tadbir urus negara.
Amanah juga percaya bahawa usaha pembangkang itu dibuat bagi menggugat kestabilan dan mengganggu fokus kerajaan PH yang sedang bekerja keras untuk mensejahterakan hidup rakyat.
Sehubungan itu, Mat Sabu menyeru agar semua ahli Amanah terus menumpukan perhatian kepada usaha-usaha mengembangkan dan menambah keahlian parti di samping bekerja keras memastikan calon PH akan menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada 2 Mac ini.
Pada Ahad, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa dua parti komponen PH mungkin merancang untuk menyingkirkan Dr Mahathir melalui undi tidak percaya di Parlimen.
Menurutnya, Pas merasakan ada perkara tidak kena apabila Perdana Menteri bercakap tentang rakan parti dalam PH sebelum ini, merujuk kepada Pas dalam Pakatan Rakyat.
Terdahulu pada Sabtu, Dr Mahathir berkata, dalam pertemuan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Jumaat, Presiden Pas itu berikrar memberi sokongan kepadanya.
#khabar angin
#krisis kepimpinan
#Mahathir Mohamad
#Mohamad Sabu
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#Parti Amanah Negara
#pemimpin
#Perdana Menteri
#pilihan raya kecil
#reformasi
#undi tidak percaya