Kompleks Tabung Haji KLIA beroperasi tahun depan

Idzham Mispan
Oktober 5, 2017 18:47 MYT
Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata Kompleks Tabung Haji KLIA akan memudahkan perjalanan jemaah kerana lokasinya hanya 10 minit dari lapangan terbang berkenaan.- Gambar fail.
Kompleks Tabung Haji Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dijadikan pusat baharu untuk para jemaah haji berkumpul menggantikan Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, bermula tahun depan.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, keputusan itu dibuat bagi memudahkan perjalanan para jemaah memandangkan pusat jemaah haji berkumpul di KLIA itu hanya mengambil masa 10 minit.
"InsyaAllah tahun depan jemaah haji akan menggunakan Kompleks Tabung Haji KLIA sebagai pusat jemaah haji berkumpul yang hanya mengambil masa 10 minit perjalanan," katanya ketika menyambut ketibaan kumpulan terakhir jemaah haji di KLIA di sini.
Seramai 268 jemaah haji menaiki pesawat MH8325 selamat tiba petang ini dan merupakan kumpulan terakhir tiba ke tanah air.
Abdul Azeez memberitahu surat tawaran untuk menunaikan ibadah haji 2018 akan dikeluarkan seawal bulan depan.
“Kita mempunyai lebih dua juta jemaah yang hendak pergi mengerjakan ibadah haji tahun depan.
"Oleh itu, kita akan merujuk kepada hierarki pendaftaran yang dibuat dan seawal bulan depan kita akan mula mengeluarkan surat tawaran secara berperingkat-peringkat," katanya.
#Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim #KLIA #Tabung Haji
;