Kompleks Silveritage Ipoh masih sepi, lengang, perlu lebih banyak promosi
Aida Aziz
Julai 18, 2023 13:02 MYT
Julai 18, 2023 13:02 MYT
IPOH: Bukan sekali, tetapi berkali-kali inisiatif dan usaha dipacu bagi menghidupkan kawasan yang dahulunya terkenal dengan hab perkhidmatan bas Medan Gopeng dan kini menjadi Kompleks Silveritage.
Namanya cukup indah, unik dan segar, namun sayangnya bangunan itu seperti tidak berpenghuni - kalau ada pun, hanya ada beberapa unit kedai yang kekal beroperasi.
Mujur juga ada medan selera yang pengusahanya dahulu merupakan sebahagian peniaga di Megoplex, nampak meriah pengunjung keluar masuk ke sini.
Jika tidak, lengang dan sunyi. Ini bukan cakap kosong, tetapi tanyalah kepada penduduk Ipoh, pasti akan bercakap perkara sama.
Berhubung soal kerja memeriahkan bangunan ini dengan aktiviti perniagaan dan sebagainya, ia sudah lama dilaksanakan.
Malah tidak keterlaluan dikatakan, sudah silih berganti pentadbiran kerajaan, namun seakan tiada perubahan.
Tidak jauh dari Silveritage ialah Megoplex, bangunan nostalgia yang dahulunya berfungsi sebagai pusat perniagaan dan beli-belah.
Jika ditanya orang ramai di sini, pasti sarat dengan nostalgia khususnya ketika musim perayaan.
Tinjauan ke Silveritage kali ini mendapati kebanyakan peniaga di situ setuju bahawa kawasan itu agak suram.
Salah seorang pekerja kedai menjual 'riding gear' motosikal, Muhamad Afiq Haiqal berkata, kunjungan pelanggan di tingkat dua kompleks itu boleh dibilang dengan jari pada hari biasa.
Pada hujung minggu, ada juga pelanggan tetap yang datang dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur serta Johor, untuk mencari kelengkapan motosikal di situ.
"Kami sudah bertapak lima bulan di sini. Boleh kata, setakat ini agak perlahan jualan dan kehadiran pelanggan. Mujur kami ada pelanggan tetap sebelum ini.
"Salah satu sebabnya ialah, kedudukan kompleks ini yang tidak sesuai, agak mengelirukan dan susah untuk orang masuk ke sini. Mereka kena buat pusingan-U. Kalau terlepas, memang susah hendak patah balik.
"Biasanya, orang datang ke sini sebab ada medan selera. Jarang berlaku orang naik ke tingkat dua ini. Diharapkan lebih banyak promosi atau aktiviti dijalankan di sini untuk tarikan umum," katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Amzari Zamri setuju salah satu faktor kemungkinan penyebab kawasan itu agak sepi adalah kerana jalan masuk yang agak mengelirukan, lebih-lebih lagi kepada orang dari luar Ipoh.
Sehubungan itu, dia berpendapat, perlu satu simpang masuk yang lebih sistematik ke kompleks berkenaan, di samping menambah lebih banyak vendor bagi menghidupkan kawasan tersebut.
"Pintu masuk ke sini kecil dan agak mengelirukan dari jalan besar. Kalau boleh buat simpang empat di hadapan kompleks ini, rasanya sangat membantu," katanya.
Sebelum ini, bangunan ini berperanan sebagai Terminal Bas Ekspres. Bagaimanapun, setelah terminal itu berpindah ke Meru Raya, ia dikosongkan untuk dinaik taraf.
Kompleks tersebut dinaik taraf pada 2015 dan operasi Kompleks Silveritage yang baharu dimulakan pada Jun 2017. Ia menjadi pusat sehenti bagi menampilkan produk dan barangan dari Perak.
Sebelum ini juga, media melaporkan, kompleks tersebut yang menjadi pusat setempat bagi kesemua produk keluaran negeri ini mampu menjadi tarikan baharu dalam industri pelancongan di bandar raya ini.