Kompleks PKNS bakal berwajah baharu tahun depan
Faida Rahim
Mac 30, 2024 18:32 MYT
Mac 30, 2024 18:32 MYT
SHAH ALAM: Prasarana Kompleks PKNS Shah Alam yang terletak di Seksyen 14, yang menjadi pusat beli belah tumpuan ramai setiap kali menjelang Syawal, akan melalui proses penambahbaikan pada tahun hadapan.
Pengurus Pusat Kompleks PKNS Shah Alam & SACC Mall, Syahril Mohd Rashid berkata, usaha itu sebagai penghargaan kepada bilangan pengunjung yang terus meningkat saban tahun, selain bakal; memberi keselesaan kepada mereka.
"Saya difahamkan pada tahun hadapan tentunya ada satu perkara lain yang akan berlaku dan difahamkan pada tahun hadapan kita ada kawasan kawasan baharu yang akan kita wujudkan untuk memastikan kemeriahan tempat ini dapat dikekalkan.
"Kita malah dapat tingkatkan jumlah pengunjungnya melalui prasarana baharu yang kita akan sediakan pada tahun hadapan," katanya.
Syahril berkata demikian dalam Fokus Minggu Depan pada Sabtu.
Jelas Syahril, pihaknya juga sentiasa menitikberatkan keselamatan dan keselesaan pengunjung terutama dalam kalangan warga emas dan kanak-kanak yang menjadi pengunjung di pusat beli belah tersebut.
Tambah Syahril, proses menambah baik dan menaik taraf aset sedia ada di kawasan pusat beli belah tersebut melibatkan tiga lokasi iaitu Kompleks PKNS, SACC Mall dan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).
"Fasa pertama yang akan dijalankan di kawasan ini adalah di SACC Mall dan SACC Convention Centre. Tiada cerita mengenai perobohan, tetapi menaik taraf aset sedia ada supaya ia kekal relevan dan kita nak jadikan kawasan ini sebagai satu kawasan mercu tanda pusat bandar raya Shah Alam.
"Kita bukan sahaja menaik taraf bangunan, tetapi kita dapat menaik taraf status usahawan agar tempat disediakan lebih up to date dan dapat bersaing dengan kawasan sekeliling," katanya.