Kompleks Mahkamah Petaling Jaya sekali lagi 'dikerumuni'
Umavathi Ramayah
Jun 13, 2024 11:35 MYT
Jun 13, 2024 11:35 MYT
PETALING JAYA: Selepas tidak sampai 24 jam, Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini kembali mencuri tumpuan petugas media dan orang awam.
Kira-kira 50 petugas media dilihat ‘berkampung’ di sekitar kawasan ini sejak pukul 7 pagi, menantikan perkembangan kes kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6 tahun, yang ditemukan maut akibat dibunuh tahun lalu.
Bagaimanapun, hanya sebahagian sahaja daripada mereka yang dibenarkan mengikuti prosiding secara fizikal, sementara yang lagi hanya mendengar dari bilik 'video link'.
Datuk dan nenek mangsa yang ditahan semalam di Subang Bestari, dekat sini, tiba dengan menaiki sebuah van pada pukul 9.12 pagi.
Sementara itu, ibu bapa mangsa dilihat tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 10.10 pagi.
Pada 7 Dis 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mayat ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.
Mangsa terdahulu dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menunjukkan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak itu mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.