Kompleks KL PWTC bakal jadi mercu tanda baharu ibu negara

Bernama
November 29, 2016 18:21 MYT
Datuk Seri Najib di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan KL PWTC di Hentian Putra hari ini. Turut hadir isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein. - Bernama
Ibu kota Kuala Lumpur akan dihiasi satu lagi mercu tanda ikonik apabila kompleks Pusat Dagangan Dunia KL Putra (KL PWTC) yang baharu, siap dibina dalam tempoh empat tahun akan datang.
PWTC KL, akan dijelmakan dengan bangunan baharu pejabat dan hotel bertaraf enam bintang di menara setinggi 70 tingkat, yang dilengkapi Dewan Putrade, pembangunan semula Dewan Tun Razak 1 dan 2 menjadi sebuah dewan baharu yang luas dan bertaraf dunia, serta projek menaik taraf bangunan sedia ada iaitu Menara Dato Onn, Dewan Merdeka, Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail.
Menara 70 tingkat yang akan dibangunkan di atas tapak Hentian Putra itu dengan keluasan lantai 111,484 meter persegi, berhadapan PWTC, akan menjadi ibu pejabat UMNO yang baharu.
Upacara pecah tanah bangunan baharu itu disempurnakan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak, pada satu majlis pengumuman pembangunan semula PWTC, di tingkat atas bangunan Hentian Putra, di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata kerja-kerja fizikal pembinaan menara 70 tingkat itu akan dimulakan pada 11 Mei 2017 sempena kelahiran UMNO.
Projek yang akan dilaksanakan syarikat Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) itu akan turut menempatkan masjid yang boleh menampung 5,000 jemaah pada satu-satu masa dan menempatkan podium membeli-belah setinggi dua tingkat.
KL PWTC secara keseluruhannya akan menampilkan seni bina unik yang diilhamkan daripada pakaian tradisional Melayu yang diambil daripada corak-corak dan lipatan-lipatan unik yang ada pada samping, lok keris (kelok yang membentuk mata keris) dan juga ukiran hulu keris.
Menara berkonsepkan seni bina yang diinspirasikan daripada lipatan samping yang membaluti keris yang menjadi ciri budaya di Malaysia manakala bagi Dewan Putrade, corak tradisional samping diguna pakai menjadi replika di bahagian hadapan luar dewan itu.
Konsep itu melambangkan gabungan lama dan baharu, membawa tarikan terbaru di ibu negara ke tahap lebih tinggi dan dalam masa yang sama mengekalkan struktur lama sebagai memperingati masa lampau.
Menara itu yang diilhamkan sempena ulang tahun ke-70 UMNO akan turut menempatkan ruang pejabat dan hotel bertaraf enam bintang dengan 250 bilik dan restoran serta ruang rehat yang menyajikan pemandangan bandar raya Kuala Lumpur dari tingkat atas bangunan.
KL PWTC juga turut menyediakan podium membeli-belah, dua tingkat berkeluasan 48,978 meter persegi berkonsepkan seni bina moden dan penuh dinamik.
Dewan Tun Razak 1 dan 2 pula akan dirangkumkan menjadi sebuah dewan dua tingkat yang baharu bertaraf dunia dengan keluasan lantai 26,630 meter persegi yang mengetengahkan konsep seni bina moden.
Dewan Tun Razak yang baharu itu akan digunakan untuk acara tempatan dan antarabangsa seperti konsert, persidangan, pertunjukan budaya dan seumpamanya.
Sementara itu Dewan Putrade pula yang berkeluasan 45,675 meter persegi akan dilengkapi kemudahan baharu yang berkeupayaan menampung 54,000 tetamu pada satu-satu masa bagi pelbagai program seperti konvensyen, ekspo, perkahwinan, persidangan dunia dan sebagainya.
Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail di bangunan PWTC sedia ada akan dinaik taraf menjadi pusat urusan perniagaan setempat, acara korporat dan sebagainya.
Turut dinaik taraf adalah Dewan Merdeka dan Menara Dato' Onn yang merupakan ibu pejabat UMNO sekarang.
Kesemua komponen pembangunan KL PWTC ini seiring dengan projek River of Life dan Projek Laluan Pejalan Kaki Pusat Bandaraya Kuala Lumpur yang direka bagi menghidupkan suasana meriah selain mempromosikan gaya hidup sihat.
Sambutan ulang tahun ke-70 dan upacara pecah tanah KL PWTC diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang bermula hari ini hingga 3 Dis.
-- BERNAMA
##PAU2016 ##UMNO2016 #KL PWTC #Najib Razak #perhimpunan agung #UMNO
;