Kompleks Islam Wira Damai bakal beri manfaat 10,000 penduduk

Sinar Harian
September 1, 2024 14:50 MYT
Amirudin menyempurnakan majlis pecah tanah Kompleks Islam Wira Damai pada Ahad. -Sinar Harian
GOMBAK: Pembinaan Kompleks Islam Wira Damai dengan peruntukan RM33 juta bakal memberikan manfaat kepada hampir 10,000 penduduk sekitar Sungai Tua.

Ringkasan AI
  • Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyempurnakan majlis pecah tanah Kompleks Islam Wira Damai dengan peruntukan RM33 juta, yang dijangka siap awal tahun 2027.
  • Kompleks ini akan memberi manfaat kepada hampir 10,000 penduduk sekitar Sungai Tua, menyediakan kemudahan solat yang lebih selesa dan menjadi pusat program pembangunan ummah setempat.
  • Kompleks ini akan menempatkan sehingga 2,700 jemaah, dilengkapi dewan tertutup, sekolah rendah agama, dan kuarters kakitangan masjid.
  • Tapak lama Masjid An-Nur Kampung Wira Damai akan dijadikan surau selepas kompleks ini siap.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek di bawah kerajaan negeri menerusi Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) itu didirikan di atas tanah seluas 4.249 hektar dan dijangka siap awal tahun 2027.
Menurutnya, bangunan berkenaan akan menjadi pusat program pembangunan ummah setempat selain kemudahan solat lebih selesa menggantikan Masjid An-Nur Kampung Wira Damai yang padat.
"Pembinaan kompleks ini menggunakan konsep nusantara bersesuaian dengan keadaan cuaca serta mampu menempatkan sehingga 2,700 jemaah dalam satu- satu masa.
"Proses permohonan kebenaran merancang dan pewartaan sebagai kawasan masjid sedang berjalan dan dijangka selesai hujung tahun ini sebelum kerja pembinaan dijadual bermula tahun depan," katanya selepas majlis pecah tanah Kompleks Islam Wira Damai Batu Caves pada Ahad.
Turut hadir Exco Agama dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Fahmi Ngah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim serta Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.
Selain kemudahan masjid, kompleks berkenaan turut dilengkapi dewan tertutup, sekolah rendah agama serta kuarters kakitangan masjid di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, kemudahan tersebut akan digunakan bersama kawasan kejiranan termasuk penduduk Apartmen Cempaka dan Kenanga serta Beringin selain sebahagian Kampung Laksamana dan Gombak Permai.
"Kampung berdekatan terutama Kampung Laksamana sebahagiannya boleh ke sini seterusnya dapat mengurangkan kesesakan (masjid) di sana.
"Adalah diharapkan agar kompleks ini dapat disiapkan mengikut jadual bagi menggantikan Masjid An-Nur Kampung Wira Damai yang usang dan limpahan jemaah.
"Selepas siapnya Kompleks Islam Wira Damai, tapak lama akan dijadikan surau bagi kemudahan penduduk Wira Damai selain kegunaan bersesuaian," katanya. -Sinar Harian
#Amirudin Shari #Kompleks Islam Wira Damai #Majlis Pecah Tanah #Sungai Tua