Kompleks IADA Kota Belud dijangka siap 2027, mercu tanda pembangunan industri padi

Bernama
Mac 7, 2024 04:00 MYT
Arthur (empat, kanan) menyerahkan jentera pembajak dan jentuai padi kepada Koperasi Pesawah Kota Belud pada program lawatan kerja ke IADA Kota Belud dan sesi touch point bersama pesawah semalam. - Foto Sinar Harian
KOTA BELUD: Pembinaan Kompleks Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud di sini dijangka siap menjelang 2027 sekiranya tender dapat diselesaikan pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan RM36 juta pada 2022 bagi membina kompleks itu selaras dengan usaha untuk memperkasa peranan IADA sekali gus membantu pembangunan sektor tanaman padi Sabah khususnya di Kota Belud.
"Kerja-kerja tapak sudah selesai dilaksanakan dan kita berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan dapat membuka tender projek pembangunan IADA Kota Belud pada tahun ini.
"Sekiranya projek ini berjaya ditender pada tahun ini, Kompleks IADA Kota Belud akan dapat disiapkan pada 2027," katanya ketika berucap pada program lawatan kerja ke IADA Kota Belud dan sesi touch point bersama pesawah di sini semalam.
Dalam pada itu, Arthur turut memberi komitmen untuk mengadakan pertemuan bersama dengan Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya Sabah bagi membincangkan alternatif untuk mempercepatkan lagi proses tender tersebut.
Arthur berkata Kompleks IADA itu kelak bukan sahaja bakal menjadi mercu tanda kepada pembangunan industri padi dan beras negara, malah akan menyumbang kepada pembangunan kawasan lebih holistik termasuk memastikan kecekapan pengurusan aktiviti pesawah.
"Kompleks ini juga akan menjadi pusat latihan kepada pesawah bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pembangunan industri padi, bengkel jentera pertanian dan makmal analisis pertanian," katanya.
Mengulas mengenai pembangunan padi di Sabah, Arthur berkata kementeriannya membawa masuk dua benih padi baharu iaitu Siraj MR 297 dan MR 269 dengan kerjasama Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah sebagai usaha meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras negeri itu dan pendapatan pesawah tempatan.
Arthur berkata inisiatif itu dilihat berupaya memberi lebih banyak pilihan benih padi kepada para pesawah di Sabah dan varieti padi itu kini berada di plot percubaan Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran bagi melihat keberkesanan serta potensi pengeluarannya.
Beliau yakin benih padi baharu itu akan dapat meningkatkan hasil pengeluaran padi dan dalam masa sama, meningkatkan pendapatan para pesawah.
Pada program itu, Arthur turut menyerahkan replika cek pembangunan kawasan sawah padi setakat Mac serta jentera pembajak dan jentuai padi Koperasi Pesawah Kota Belud di samping bantuan bagi pembelian pam air dengan nilai keseluruhan berjumlah RM707,772 yang memberi manfaat kira-kira 600 pesawah.
-- BERNAMA
#Arthur Joseph Kurup #pesawah #Kompleks IADA Kota Belud #pembangunan industri padi
;