Kawasan berpagar Kompleks Bebas Cukai dan Kelab Golf Bukit Kayu Hitam di sini dipercayai menjadi laluan kegiatan penyeludupan dan aktiviti jenayah lain, susulan penemuan 'lorong tikus' di situ.

Laluan haram terbabit ditemui ketika tinjauan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah Datuk Mohd Johari Baharom bersama agensi penguat kuasa di kawasan sempadan itu, hari ini.

"Apa yang saya boleh buat sekarang adalah meminta semua agensi keselamatan di sempadan mempertingkatkan kawalan dan memupuk koordinasi untuk memantapkan keberkesanan operasi mereka dan dibuat secara bersama," katanya kepada pemberita selepas tinjauan itu.

Sehubungan itu katanya, beliau akan mengadakan mesyuarat dengan pihak berkaitan bagi menangani segera masalah lorong tikus tersebut.

Menerusi tinjauan hari ini, beberapa bahagian pagar dua lapis di kawasan tersebut dipotong dan dibuka membentuk laluan, sekali gus membolehkan pihak tidak bertanggungjawab lolos tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa.

Sebagai langkah segera, Mohd Johari yang juga Anggota Parlimen Kubang Pasu berkata beliau akan meminta pemilik kompleks itu menaik taraf pagar di sepanjang tujuh kilometer zon bebas cukai.

Turut menyertai tinjauan ialah Pegawai Turus Risik Pasukan Gerak Am Briged Utara DSP Mohd Saleh Mohd Husin, Pengarah Jabatan Imigresen Kedah Mohd Fitri Hassan serta pegawai kanan Jabatan Kastam dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah.