Kompaun RM250: Samakan Ipoh dengan Pyongyang, hanya pandangan peribadi kolumnis- Datuk Bandar
Aida Aziz
Ogos 30, 2022 14:44 MYT
Ogos 30, 2022 14:44 MYT
IPOH: Laporan sebuah portal tempatan yang mempersoalkan sama ada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) cuba menjadi seperti ibu negara Korea Utara, Pyongyang berhubung kompaun RM250, disifatkan hanya sekadar pendapat peribadi kolumnis.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin menegaskan bahawa tindakan kolumnis yang mempersoalkan kompaun dikenakan kepada premis yang gagal memasang Jalur Gemilang itu seperti menyalah tafsir fakta daripada sumber berita arus perdana.
Rumaizi berkata, secara jelas dalam laporan media sebelum ini ada dinyatakan bahawa tiada kompaun yang dikenakan dan premis berkenaan hanya diberi nasihat.
Jelasnya lagi, kompaun tersebut memang wujud di semua pihak berkuasa tempatan (PBT), tertakluk di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan.
"Saya ingat itu tiada (isu) saya rasa apa yang dibuat ini (kompaun) semua PBT mengambil langkah sama.
"Peniaga di Ipoh tak bising dan beri respons yang baik, yang jadi ini (isu) bila orang luar (mempersoal), saya pun tidak faham kenapa dia nak marah.
"Saya pun terfikir kenapa orang luar pula yang nak memainkan isu ini, jadi itu hanya pendapat peribadi penulis," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBI dan pembentangan bajet di sini pada Selasa.
Justeru katanya, tiada isu berbangkit daripada kalangan peniaga berhubung pemasangan Jalur Gemilang.
"Mereka (peniaga) teruja untuk memasang Jalur Gemilang.
"Kita minta (pasang) satu bendera saja, tetapi saya lihat sesetengah peniaga dengan rela hati pasang dan ada yang sampai 30 bendera.
"Jadi kita lihat peniaga sudah memahami MBI, kerana apabila kita buat begitu baru jadi bandar yang ceria dan bila bandar ceria baru pelancong nak datang," katanya lagi.
Ketika ditanya pemberita bagaimana boleh timbul isu tersebut, Rumaizi tidak menolak kemungkinan ada agenda tersembunyi yang cuba memperlihatkan kelemahan MBI.
"Macam ada satu agenda lain, kerana saya rasa ada sesuatu yang tidak kena terutamanya itu orang luar bukan orang Ipoh.
"Saya tidak tahu apa agenda dia (kolumnis) tetapi peniaga di Ipoh memang elok sahaja," katanya.
Baru-baru ini sebuah portal tempatan dalam ruangan kolumnis mempersoalkan tindakan kompaun RM250 jika pemilik premis gagal memasang Jalur Gemilang.