Kompaun RM10,000: Anwar gesa kerajaan kaji semula kadar denda
Afiezy Azaman
Mac 13, 2021 10:46 MYT
Mac 13, 2021 10:46 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa kaji semula kadar denda RM10,000 jika didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar itu dilihat tidak wajar terutama sekali apabila ia dikenakan kepada mereka yang mungkin tidak sengaja melanggarnya atau keliru berkaitan SOP.
"Ini secara tidak langsung menampakkan wujudnya hukuman pilih kasih di mana terdapat segelintir orang-orang besar, ahli politik serta pegawai kerajaan yang secara terang-terangan melanggar SOP PKP tanpa sebarang tindakan lanjut atau denda.
"Ini juga bukti nyata bahawa kerajaan ini mengamalkan sikap antara dua darjat dalam menguatkuasakan peraturan tatkala rakyat terus dimangsakan secara berterusan," dakwa Presiden PKR itu dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kerajaan perlu peka dengan nasib dan kepayahan ditanggung rakyat ketika ini.
"Ramai yang telah kehilangan pekerajaan dan hilang punca pendapatan, kadar denda itu tidak munasabah.
"Pernahkah kerajaan ini fikirkan apakah rakyat mampu untuk membayar denda sejumlah RM10,000? Sekiranya RM1,000 itu pun mereka tidak mampu?
"Bagaimana mungkin kita benarkan rakyat Malaysia yang miskin yang sudah pun dibebankan dengan kepayahan yang dahsyat, dikurung di penjara kerana tidak mampu membayar denda?" soal Anwar.
Bermula Khamis lalu, kerajaan mewartakan jumlah kesalahan kompaun terhadap mereka yang melanggar SOP sebanyak RM10,000 berbanding RM1,000 sebelum ini susulan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021
Jumlah sebenar kompaun dikenakan itu tertakluk kepada budi bicara Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) jika pesalah membuat rayuan.
#Anwar Ibrahim
#SOP
#COVID-19
#PKP
#penjara
#denda
#RM10 000
#Ordinan Darurat
#Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit
#RM10000
#kompaun