Kompaun RM1,000 berserta intipan, jadikan 'hotspot' sampah haram mulai bersih

Aida Aziz
Ogos 28, 2022 07:30 MYT
Longgokan sampah haram sebelum penguatkuasaan dilaksanakan. - Foto Richard Ng
IPOH: Kompaun RM1,000 ditambah dengan intipan serta penguatkuasaan di lokasi 'hotspot' sampah haram sekitar bandar raya ini, berjaya mengurangkan kes tersebut dari masa ke semasa.
Mungkin ada yang berpandangan kompaun RM1,000 tanpa rayuan kepada pelaku itu sesuatu yang tidak relevan, namun ia terpaksa dilaksanakan setelah pelbagai amaran diberi tetapi hasilnya hampa.
Menurut Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Prof Dr Richard Ng, beliau sendiri melihat perubahan positif di kawasan yang dahulunya sering menjadi tumpuan atau lokasi pembuangan sampah haram.
"Sebelum ini banyak tempat longgokan sampah haram yang telah dipasang dengan papan tanda amaran denda tidak dihiraukan malah diperlekeh masyarakat.
"Sebenarnya kompaun yang dikenakan merupakan satu kaedah pengajaran kepada pelaku.
"Sudah tentu sampah haram ini dapat dikurangkan pada tempat longgokan sampah haram," katanya ketika mengulas lanjut mengenai keberkesanaan kompaun yang dikenakan sejak awal bulan lalu.
Ujarnya lagi, penguat kuasa MBI giat menjalankan intipan di lokasi 'hotspot' sampah haram, dan melalui penelitiannya di kawasan terbabit ia mulai berkurang dan lenyap.
"Contohnya di Desa Tambun Indah, di mana dua longgokan sampah haram telah lenyap setakat ini.
"Tempat lain seperti di Pasar Target dan Pasar SPPK serta Jalan Pasir Pinji 10 dan Jalan Sekolah turut menunjukkan kesan pengurangan.
"Penguat kuasa yang terbabit berjaya mengenal pasti dan mengenakan denda RM1,000 kepada pesalah yang didapari membuang sampah haram.
"Selang beberapa hari operasi itu dilakukan, saya gembira apabila melihat tapak sampah haram di Desa Tambun Indah bersih dan bebas sampah," katanya lagi.
Sehubungan itu menurut Richard, tindakan intervensi yang berkesan adalah kehadiran penguat kuasa dengan intipan dan tangkapan dibuat kepada pembuang sampah haram.
Bagaimanapun, katanya, MBI perlu mencari penyelesaian tuntas untuk memikirkan cara mengubah minda masyarakat supaya wujud rasa tanggungjawab bekerjasama menjadikan Ipoh sebagai bandar raya yang bersih.
Sebelum ini media melaporkan, seramai 15 individu dikenakan kompaun RM1,000 kerana membuang sampah haram di sekitar bandar raya ini, setakat 12 Ogos.
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata pihaknya tegas dalam melaksanakan kompaun itu dan sebarang rayuan tidak akan dilayan.
#kompaun #Majlis Bandaraya Ipoh #sampah #penguatkuasaan
;