Komitmen, sumbangan Astro AWANI terhadap kelestarian alam sekitar wajar dicontohi - UN-Habitat

Raja Hisyam Raja Zaid
Ogos 8, 2022 16:46 MYT
Lawatan Maimunah ke Astro merupakan sebahagian daripada rangka lawatan beliau ke rantau Asia. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Komitmen dan inisiatif berterusan oleh Astro AWANI dalam memberi sumbangan informasi dan pendidikan terhadap kelestarian alam sekitar wajar menjadi contoh untuk dijejaki oleh pemain-pemain industri yang lain.
Menurut Pengarah Eksekutif Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UN-Habitat) Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, sudah pastinya kesudian badan penyiar seperti Astro AWANI untuk turut sama memainkan peranan dalam memberi komitmen tersebut amat dihargai.
“Apa yang telah dilakukan oleh Astro AWANI adalah usaha yang terpuji bagi sektor korporat kerana ia melangkaui daripada sekadar tanggungjawab korporat sosial (CSR). Anda telah menyumbang kepada pelaburan kelestarian alam sekitar.
“Saya kira itu sepatutnya menjadi contoh oleh pemain-pemain sektor korporat yang lain dalam menjalinkan kerjasama, bagus dan teruskan usaha tersebut,” katanya ketika hadir melakukan lawatan ke Pusat Penyiaran Asia (Astro) di sini hari ini.
Kunjungan tersebut merupakan sebahagian daripada rangka lawatan beliau ke rantau Asia.
Kehadiran beliau disambut oleh Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail.
Astro AWANI dan UN-Habitat membentuk kerjasama strategik membabitkan aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan matlamat pembangunan mapan (SDG).
Kerjasama tersebut adalah sebagai respons kepada kehendak semasa berkaitan kelestarian perbandaran, bandar pintar dan masa depan urbanisasi.
Dalam kunjungan tersebut Maimunah juga meluangkan masa ditemu bual dalam program Agenda AWANI dan AWANI Tonight.
Maimunah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat pada 22 Januari 2018 menggantikan penyandang jawatan tersebut sebelum itu Dr. Joan Clos dari Sepanyol.
Anak kelahiran Negeri Sembilan itu pernah dilantik sebagai Datuk Bandar Pulau Pinang dan menjadi Wanita pertama dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai pada 2011.
#PBB #UN #Agenda Awani #Asia
;