Komitmen BN-PH bina rumah mampu milik bantu rakyat Kelantan miliki kediaman sendiri

Bernama
Ogos 6, 2023 20:30 MYT
Samsuri berkata berdasarkan pengalamannya, kebanyakan masyarakat tidak mampu memiliki kediaman sendiri disebabkan faktor harga rumah yang semakin meningkat. - Gambar hiasan/Bernama
KOTA BHARU: Komitmen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kelantan untuk membina 5,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya diberi mandat memerintah negeri itu boleh membantu rakyat berpendapatan rendah (B40) untuk memiliki rumah sendiri.
Timbalan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Kelantan Datuk Samsuri Awang Mat berkata berdasarkan pengalamannya, kebanyakan masyarakat tidak mampu memiliki kediaman sendiri disebabkan faktor harga rumah yang semakin meningkat.
"Secara peribadi, dari segi pemaju sendiri ia agak sukar untuk membina dan menawarkan rumah mampu milik. Tetapi jika BN dan PH mampu laksanakannya sekiranya diberi mandat kelak, usaha ini patut disokong.
"Jika dilihat, harga sebuah rumah mengikut pasaran sekitar RM220,000 iaitu rumah teres yang berada dalam radius 20 kilometer (km) dari kawasan bandar. Sekiranya rumah mampu milik yang bakal dibina di bawah paras harga ini, saya berharap ia dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Semalam, BN dan PH Kelantan melancarkan manifesto gabungan tersebut yang menggariskan empat teras utama dengan 34 tawaran yang akan dinikmati pelbagai golongan masyarakat di Kelantan secara menyeluruh dan inklusif sekiranya diberi mandat mentadbir negeri ini pada PRN, 12 Ogos ini.
Manifesto itu antara lain menyatakan komitmen BN-PH Kelantan untuk membina 5,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun, selain diskaun sebanyak 50 peratus bagi bayaran proses pelan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi pembinaan rumah pertama.
Bagi Norlaila Rahim, 41, dari Kampung Tebing, Sabak, beliau berkata tawaran rumah mampu milik itu dianggap sebagai 'talian hayat' kepada golongan yang tidak berkemampuan untuk memiliki kediaman sendiri.
Katanya, sehingga kini beliau sekeluarga terpaksa menyewa rumah dengan kadar sewa sebanyak RM650 sebulan memandangkan tidak mampu untuk membeli rumah sendiri.
"Keinginan untuk memiliki kediaman sendiri sudah lama ada namun, jika dilihat harga rumah di pasaran sekarang agak melambung tinggi sekali gus membuatkan saya tidak mampu untuk membeli rumah dengan pendapatan yang hanya ala kadar.
"Sekiranya, BN dan PH mampu menawarkan rumah mampu milik terutamanya kepada rakyat di negeri ini ia satu perkara yang perlu disambut baik," katanya.
-- BERNAMA
#rumah mampu milik #Pakatan Harapan #Barisan Nasional #Manifesto
;