Komitmen berterusan bawa kejayaan buat UM
Fauzi Suhaimi
Jun 11, 2020 14:40 MYT
Jun 11, 2020 14:40 MYT
Kejayaan Universiti Malaya (UM) yang berjaya menduduki tangga ke -59 dalam 100 universiti terbaik dunia adalah hasil usaha dan komitmen berterusan semua kakitangan dan warganya.
Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Ir Abdul Rahim Hashim berkata, meskipun pelbagai cabaran diberikan, namun usaha gigih dan semangat dalam pasukan membawa kepada kejayaan tersebut.
Katanya, selain itu dua strategi jangka panjang yang direncanakan UM antara penyumbang terbesar kepada kejayaan tersebut.
"Antara elemen yang diberi penekanan khusus universiti ini ialah menerusi Pelan Strategik serta Plan Transformasi bersifat meenyeluruh untuk mencapai kejayaan tersebut.
"Ini disokong oleh komitmen dan semangat berpasukan semua pihak termasuk kakitangan, penyelidik dan pelajar sehingga berapa pada tahap ini.
"Ini yang boleh saya banggakan dimana ia juga merupakan satu tunggak yang memberi kepercayaan kepada kita ke mana kita berada pada hari ini," katanya ketika ditemubual Astro AWANI di sini pada Khamis.
Pada Rabu, lima universiti penyelidikan Malaysia menunjukkan peningkatan amat membanggakan berbanding tahun sebelumnya dengan berada dalam kelompok 200 terbaik dunia dan Top 1% in the World dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2021.
Lima universiti berkenaan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, kerajaan disarankan untuk memperbanyakkan lagi geran penyelidikan kepada universiti berkaitan bagi menghasilkan lebih banyak kajian-kajian berimpak tinggi setanding dengan negara maju.
"Antara strategi lain yang boleh menaikkan nama universiti adalah dengan memperbanyak kajian atau penyelidikan yang berimpak tinggi sekali gus mampu menerbitkan jurnal-jurnal berimpak tinggi untuk kelangsungan pendidikan masa hadapan," ujarnya lagi.