Komitmen AFPM terus perkukuh bidang perubatan keluarga
Madiha Abdullah
Oktober 12, 2024 19:23 MYT
Oktober 12, 2024 19:23 MYT
PUTRAJAYA: Premis baharu Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia (AFPM) yang siap Jun lalu, menjadi simbol komitmen dan dedikasi tidak berbelah bahagi terhadap usaha mempertingkatkan latihan perubatan keluarga di Malaysia.
Presidennya, Dr Isriyanti Mohd Rafae berkata, AFPM kini berada di barisan hadapan dalam membentuk doktor keluarga yang kompeten dan penyayang, dengan matlamat 'satu doktor keluarga untuk setiap keluarga' bagi melahirkan sebuah negara yang lebih sihat dan kuat.
Jelasnya, dalam era pengkhususan atau sub kepakaran yang semakin meningkat, doktor keluarga kekal sebagai doktor pakar yang serba boleh dan mampu mengurus pelbagai isu kesihatan sambil menyelaras penjagaan pakar.
"Doktor keluarga berada dalam kedudukan yang unik untuk memberikan penjagaan holistik yang merangkumi bukan sahaja aspek fizikal tetapi juga aspek mental dan sosial.
"Kepelbagaian dan pendekatan menyeluruh ini sangat penting dalam usaha menangani keperluan kesihatan yang dinamik, daripada merawat penyakit kepada promosi kesihatan, saringan awal penyakit dan pemulihan pesakit dalam komuniti," katanya.
Justeru, AFPM melihat premis baharu itu sebagai sebuah hub latihan akademik dalam bidang perubatan yang menyatukan pelbagai persatuan perubatan, dengan kelengkapan fasiliti tercanggih.
"Bangunan Akademi Perubatan ini yang dipunyai oleh Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia dan Akademi Perubatan Malaysia akan berfungsi sebagai hub kerjasama, pertukaran dan perkongsian ilmu pengetahuan, serta menjana inovasi dalam penjagaan kesihatan.
"Perkongsian pintar ini akan sekali gus menggalakkan kerjasama multi disiplin," katanya lagi.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pejabat Pentadbiran dan Pusat Latihan AFPM di Putrajaya, pada Sabtu.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang juga merupakan penaung akademi.
AFPM, yang ditubuhkan pada 1973, menyambut ulang tahun ke-50 dan kini menawarkan pelbagai latihan untuk pengamal perubatan keluarga.
Akademi itu telah melahirkan 762 Pakar Perubatan Keluarga manakala 814 lagi sedang menjalani latihan kepakaran.