Komik propaganda: Pengarang, penulis akan dipanggil untuk beri keterangan - Muhyiddin

Astro Awani
Oktober 18, 2019 12:41 MYT
MUHYIDDIN: Sebab itu wajar tindakan tegas diambil dan panggil mereka yang menulis untuk dapatkan keterangan lanjut. - Gambar fail/BERNAMA
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memanggil beberapa individu untuk diambil keterangan berhubung isu pengedaran komik bertajuk 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' kepada institusi pendidikan termasuk sekolah.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata siasatan terperinci akan dilakukan oleh Bahagian Keselamatan KDN.
Katanya ada perkara yang tidak betul dalam komik itu yang menyentuh unsur politik dan juga negara asing.
"Sebab itu wajar tindakan tegas diambil dan panggil mereka yang menulis untuk dapatkan keterangan lanjut.
"Kita tak boleh ambil tindakan terburu. Kita dah tahu (siapa) pengarangnya dan saya akan arahkan bahagian keselamatan untuk dapatkan penerangan apa yang berlaku," katanya pada sidang media selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini pada Jumaat.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Khamis menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan dan kebenaran tentang pengedaran komik terbabit.
BACA: Komik propaganda: KPM tidak pernah luluskan pengedaran komik
Komik berunsur propaganda itu dikeluarkan pihak Muzium Kebudayaan Komik Asia.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menyerahkan kepada pihak Universiti Malaya (UM) dalam menyelesaikan isu berkaitan pelajarnya yang berkelakuan biadap pada Istiadat Konvokesyen UM Kali ke-59, Isnin lalu.
Katanya, pihak universiti mempunyai kuasa autonomi untuk mengawal pelajarnya termasuk soal tindakan disiplin.
#Bahagian Keselamatan KDN #KDN #Kementerian Dalam Negeri #Kementerian Pendidikan Malaysia #komik propaganda #Muhyiddin Yassin #PD Pontian