Komik propaganda boleh jadi benih kebencian antara kaum - Gerakan
Astro Awani
Oktober 23, 2019 22:00 MYT
Oktober 23, 2019 22:00 MYT
Komik Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama boleh menjadi benih kebencian kaum dalam negara.
Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Mak Kah Keong menegaskan, jika ia tidak dibendung dengan segera, lebih banyak karya yang seumpanya dijadikan jarum politik oleh pihak luar.
“Komik Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama menjadi kontroversi kerana isi kandungannya mewujudkan provokasi terhadap orang Islam dan pemimpin terdahulu negara.
“Malah kata aluan yang diterbitkan dalam karya tersebut menjunjung tinggi kerjasama yang terjalin antara negara China dan Malaysia melalui terbitan tersebut.
“Karya tersebut dipercayai mempunyai propaganda tersendiri kerana diterbit, dijual dan diedar hampir ke seluruh sekolah dalam negara,” katanya salam satu kenyataan, pada Selasa.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan komik kontroversi itu bersekali dengan versi Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, larangan tersebut dikuatkuasakan ekoran kandungan penerbitan itu mengandungi elemen yang boleh memudaratkan ketenteraman dan keselamatan orang awam, serta kemungkinan menggemparkan fikiran masyarakat.
Dalam pada itu tegas Kah Keong, pihak berwajib sepatutnya segera mengambil tindakan dan mengekang penjualan buku ini pada peringkat awal lagi di semua peringkat sekolah.
“Manakala pihak kementerian dalam negeri seharusnya pastikan isi kandungannya tidak mengandungi unsur-unsur hasutan dan menghina mana-mana pemimpin mahupun agama dalam negara.
“Tetapi mereka dilihat tidak menjalankan fungsi dengan baik kerana edaran buku ini telah melepasi peringkat sekolah di semua sekolah terutamanya sekolah-sekolah Cina.
“Oleh itu, pihak polis perlu segera siasat dan ambil tindakan terhadap pihak penerbit dan kroninya,” jelasnya.
Kandungan penerbitan komik itu itu antara lain cuba mempromosi ideologi Komunisme dan Sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan mengenai perjuangan komunis, serta membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan fahaman itu.
Ia juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca, khususnya generasi muda mengenai sejarah Malaysia, serta mempertikai usaha pemimpin dan pejuang terdahulu mengenai kemerdekaan negara ini.
#China
#Cina
#GERAKAN
#Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama
#Islam
#KDN
#keselamatan
#polis
#politik
#rakyat
#sekolah