Komersialkan robot ciptaan peserta Robattle
Bernama
November 3, 2019 04:53 MYT
November 3, 2019 04:53 MYT
Yayasan Bank Rakyat mahukan robot ciptaan para peserta Universiti Kuala Lumpur (UNiKL) International Robattle Competition 2019 dikomersialkan supaya inovasi yang dihasilkan dapat dimanfaatkan masyarakat.
Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Norashikin Shaharudin berkata robot ciptaan para pelajar yang dikomersialkan akan memupuk minat golongan muda dan para peserta untuk menjadi usahawan dan penjana pekerjaan pada masa akan datang.
"Inovasi yang dicipta menerusi pertandingan ini tidak seharusnya terhenti di sini sahaja. Ia boleh dikomersialkan bagi menggalakkan lebih ramai usahawan-tekno dalam kalangan masyarakat," katanya ketika berucap pada majlis penutup UniKL International Robattle Competition 2019 di UniKL Malaysia France Institute di sini pada Ahad.
Ini merupakan tahun kedua Yayasan Bank Rakyat menjadi penaja utama pertandingan yang sudah memasuki edisi keempat tahun ini.
Sementara itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud berkata sejak tahun pertama penganjurannya, UniKL Internatiobal Robattle Competition mencatatkan peningkatan jumlah penyertaan setiap tahun.
Penganjuran kali ini berjaya menarik penyertaan 67 pasukan dengan jumlah peserta lebih 250 orang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta murid sekolah menengah dan rendah seluruh negara.
Pertandingan Robattle merupakan platform untuk para pelajar menunjukkan kemahiran masing-masing dalam bidang robotik.
Pasukan Spiderhead dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara Balik Pulau muncul juara keseluruhan hari ini dengan rekaan robot tempur yang dilengkapi 'senjata' dan perisai sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000.
-- BERNAMA
#golongan muda
#inovasi
#International Robattle Competition 2019
#komersial
#Mazliham Mohd Su'ud
#Norashikin Shaharudin
#pengurus besar
#penjana pekerjaan
#robot
#UniKL
#Universiti Kuala Lumpur
#usahawan
#Yayasan Bank Rakyat