Komen Azizan mengenai pemberian lesen bank digital adalah pandangan peribadi - MPay
Bernama
Mei 10, 2022 06:06 MYT
Mei 10, 2022 06:06 MYT
KUALA LUMPUR: ManagePay Systems Bhd (MPay) menjelaskan bahawa komen pemegang saham utamanya, Datuk Azizan Osman, mengenai keputusan pemberian lesen bank digital oleh Bank Negara Malaysia (BNM) adalah pendapat peribadi beliau dan bukan pandangan pengurusan.
MPay dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Selasa berkata sebagai pemegang saham utama, Azizan juga tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan dan operasi syarikat.
Ia berkata MPay percaya bahawa BNM telah menjalankan proses pemilihan yang teliti dan telus sebelum mengumumkan senarai lima pemegang lesen bank digital yang terpilih.
"Kewujudan lima pemegang lesen bank digital ini akan secara serentak mengubah landskap yang merangkumi sistem kewangan dan ekonomi digital yang berkembang pesat hari ini.
"MPay juga berbesar hati untuk bekerjasama dengan mana-mana pemegang lesen bank digital sekiranya diberi peluang pada masa depan," katanya.
Pada 29 April, BNM mengumumkan senarai lima penerima lesen perbankan digital dan Azizan mengulas bahawa ia tidak diberikan secara adil kepada syarikat milik Bumiputera.
-- BERNAMA