KOM cadang kerajaan tubuh universiti sukan
Bernama
Julai 29, 2024 23:01 MYT
Julai 29, 2024 23:01 MYT
KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan universiti sukan pada masa depan.
Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim berkata cadangan tersebut merupakan antara keputusan besar yang dipersetujui sebulat suara oleh semua ahli gabungan pada mesyuarat agung tahunan badan induk olahraga negara itu semalam.
Shahidan berkata penubuhan universiti tersebut penting bagi memastikan remaja terutamanya lepasan sekolah sukan terus berkecimpung dalam sukan sekali gus memastikan Malaysia tidak ketandusan bakat.
"Saya ingat sudah sampai masanya kita ada universiti sukan khas sebab perkara ini perlu kita beri perhatian untuk lahirkan atlet berprestasi tinggi," katanya dalam satu video dimuat naik di laman Facebook hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyatakan hasrat untuk mengadakan sesi perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi mengetengahkan cadangan tersebut.
-- BERNAMA