[KOLUMNIS] Varian Omicron: Apakah pilihan masa hadapan kita?
Irmohizam Ibrahim
November 30, 2021 13:03 MYT
November 30, 2021 13:03 MYT
ARTIKEL berjudul "COVID-19 is likely to fade away in 2022" dalam laporan The Economist baru-baru ini menyebut "pandemik (COVID-19) tidak mati, ia hanya pudar."
Dan itulah yang mungkin dilakukan oleh COVID-19 pada tahun 2022. Benar, akan ada peningkatan tempatan dan bermusim, terutamanya di negara-negara yang kekurangan vaksin secara kronik.
Ia seterusnya menyebut bahawa pakar-pakar epidemiologi juga perlu memerhatikan varian baharu yang mungkin mampu menewaskan imuniti yang disediakan oleh vaksin.
Walaupun begitu, pada tahun-tahun akan datang, apabila covid memasuki fasa sebagai penyakit endemik, seperti selesema atau selsema biasa, kehidupan di kebanyakan dunia mungkin akan kembali normal - sekurang-kurangnya, keadaan normal selepas pandemik.
Ketika artikel itu muncul di pasaran, dunia pula digegarkan dengan kemunculan varian baharu, sekali gus mencetuskan kebimbangan serius seluruh dunia.
Selepas varian Delta dan Super Plus, Omicron, yang dikaitkan dengan benua Afrika, meletakkan dunia dalam keadaan berjaga-jaga. Dikhuatiri bakal membawa gelombang baharu jangkitan dan penularan.
Negara-negara yang memutuskan untuk membuka sempadan mereka sudah mula membuat kajian semula keputusan mereka.
Pasaran dunia turut menjunam ke paras rendah dalam setahun. Persidangan menteri Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) minggu depan, perhimpunan terbesar badan perdagangan global itu dalam tempoh empat tahun, ditangguhkan pada saat-saat akhir hujung minggu lalu ekoran kehadiran Omicron COVID-19.
WTO berharap perhimpunan empat hari di Geneva akan memberi nafas baharu kepada organisasi yang lumpuh itu, yang telah terperangkap selama bertahun-tahun cuba membuat kemajuan dalam menyelesaikan isu seperti subsidi perikanan.
Selain itu, penemuan Omicron mencetuskan tanda amaran terbaharu pada Jumaat lalu apabila banyak negara dengan tergesa-gesa mengambil tindakan menangguhkan perjalanan ke dan dari Afrika selatan.
Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran Omicron mungkin merebak lebih cepat berbanding bentuk lain dan bukti awal mencadangkan terdapat peningkatan risiko jangkitan.
Pakar epidemiologi memberi amaran sekatan perjalanan mungkin sudah terlambat untuk menghentikan Omicron daripada beredar di seluruh dunia.
Mutasi baharu pertama kali ditemui di Afrika Selatan dan sejak itu dikesan di Belgium, Botswana, Israel dan Hong Kong.
Dari perspektif Malaysia, kita baru sahaja menarik nafas lega selepas hampir lima bulan diikat oleh sekatan pergerakan secara total, membawa impak paling buruk dalam kehidupan kita.
Lebih buruk berbanding impak gelombang pertama. Rakyat sudah tidak mampu untuk berhadapan dengan satu lagi gelombang impak.
Ekonomi dan sempadan negara baru sahaja mula dibuka secara berperingkat termasuk antara Malaysia-Singapura mula Isnin.
Rakyat mula menyusun semula tindakan dan strategi mata pencarian masing-masing, sama ada di sektor formal ataupun informal, selepas lama dicengkam impak COVID-19.
Kemudahan-kemudahan kesihatan juga baru masuk fasa baharu untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan keluar daripada tekanan luar biasa pernah dihadapi.
Bajet 2022 yang diumumkan sebulan lalu dan kini dalam peringkat perbahasan kelulusan telah menyediakan pelan tindakan untuk menghadapi tempoh pasca pandemik mulai tahun depan.
Tidak lama lagi kita akan memasuki fasa endemik dengan pakar-pakar kesihatan memberi amaran kita tiada pilihan kecuali menerima koronavirus sebagai sebahagian daripada kitaran kehidupan manusia.
Bermakna Malaysia dan satu dunia bakal memasuki tahun ketiga serangan COVID-19 tidak lama lagi.
Tinggal sekitar 30 hari kita akan memasuki tahun ketiga pandemik. Krisis kesihatan telah membawa kita
365 hari yang ketiga dalam beberapa hari.
Pilihan kita cuma satu. Kita perlu mengambil langkah-langkah pencegahan yang lebih berhati-hati, berwaspada dan berjaga-jaga.
Berdasarkan butiran dikeluarkan oleh portal COVID Now, sehingga Sabtu lalu, seramai 79.1% rakyat dewasa telah menerima satu dos dan 77.1% telah diberikan dos penuh atau dua dos, manakala 20.9% telah menerima dos penggalak.
Lebih 30,000 rakyat Malaysia telah meninggal dunia akibat virus ini, dengan jumlah jangkitan adalah 2,613,731. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding ketika Mac 2020.
Dalam tempoh yang singkat sahaja jumlah jangkitan dan korban mencecah paras luar jangkaan.
Kita belum bebas sepenuhnya. Masih terdapat lebih 67,000 kes aktif.
Negara berjaya menangani gelombang pertama dengan jaya dan berkesan. Kejayaan itu membawa kita kepada keadaan rasa selesa, sehingga ramai daripada kita terlepas pandang kerja keras yang telah dicurahkan di peringkat awal usaha mencegah jangkitan.
Ia membawa kepada pengiktirafan Malaysia sebagai antara negara yang berjaya mengawal jangkitan dan penularan COVID-19.
Malangnya, akibat kelekaan ekoran kejayaan awal, kita memandang mudah keperluan pematuhan, pelaksanaan dan penguatkuasaan peraturan secara konsisten dan secara berterusan.
Akibatnya kesan buruk telah kita saksikan. Kes meningkat dengan mendadak, sehingga membawa kepada proklamasi darurat dan sekatan total. Daripada daripada kita merasakan kebebasan mereka dirampas dan dinafikan. Ia dirasai sehingga kini.
Hari ini kita mendengar kemunculan varian baharu ketika sempadan dunia mula dibuka secara berperingkat.
Apakah jaminan kita tidak mungkin berhadapan dengan gelombang baharu impak yang diakibatkan oleh Delta dan Delta Plus?
Sementara imbangan antara kepentingan kesihatan, ekonomi dan kebebasan rakyat diberi keutamaan, kini masa untuk setiap individu tidak kira pangkat kuasa, kedudukan dan status perlu ada peranan.
Kita perlu kembali merenung pengajaran dan pengalaman sepanjang 17 bulan lalu. Kita perlu memperkukuhkan pelan tindakan di setiap peringkat. Jangan leka dan jangan rasa selesa sama sekali.
Kita perlu jaga kita. Tidak ada pihak yang akan jaga kita. Slogan Kita Jaga Kita perlu diperkukuh dari sudut amalan dan pematuhan, tidak kita masa dan tempat.
Vaksin yang telah diberikan dan diterima hanyalah satu perisai awal. Ia bukan perisai berkekalan selama-lamanya. Usaha memerangi dan mencegah terletak di tangan kita.
Kita tidak ada pilihan kecuali melipatgandakan usaha mengekang, mengelak dan mencegah gelombang baharu.
Sebagai ekonomi yang bergantung kepada dunia luar, kita tiada opsyen untuk membuka sempadan negara, sebagaimana telah dilakukan oleh banyak kerajaan.
Tindakan proaktif perlu digandakan. Amalkan pematuhan kendiri secara menyeluruh, dalam erti kata lebih luas berbanding sebelum ini. Pun begitu keimbangan antara sektor perlu diutamakan.
* Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim merupakan Pengarah Eksekutif Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dan Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik, World Trade Centre Associations yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.