[KOLUMNIS] 'Tuna' indah yang terabai

Azura Halid
Mac 11, 2023 10:00 MYT
Bukan sekadar ikan laut... Ramai sebenarnya yang tidak cakna tentang 'tuna' yang menjadi imbuhan awalan dalam bahasa Melayu. - Gambar hiasan
MENYINGKAP Kamus Dewan Perdana (2021), penulis menemui perbendaharaan kata “tuna” yang membawa dua maksud berbeza.
Tuna yang biasa digunakan dan diketahui masyarakat umum ialah sejenis ikan laut daripada keluarga Scombridae yang berbentuk bulat panjang dan mempunyai muncung yang lancip. Di Malaysia kebiasaan isinya ditinkan sebagai bahan makanan.
Namun ramai yang tidak cakna tentang 'tuna' yang menjadi imbuhan awalan dalam bahasa Melayu.
'Tuna' seangkatan dengan imbuhan awalan eka- , dwi- , tri- , panca- , tata- , pra- , pasca- , dan lain-lain. Namun begitu kosa kata 'tuna' kurang digunakan oleh pengguna bahasa Melayu sendiri. Penggunaannya tidak popular malahan tidak produktif. Imbuhan awalan ini dipinjamkan daripada bahasa Sanskrit dan diserapkan dalam sistem bahasa dan ejaan serta tatabahasa bahasa Melayu.
Dinamiknya bahasa Melayu yang tidak terlepas daripada menerima kata serapan dan pinjaman daripada bahasa-bahasa asing untuk menjadi pilihan atau satu ketetapan yang penggunaannya tidak wujud dalam masyarakat Melayu.
Serapan dan pinjaman yang popular ialah daripada bahasa Inggeris dan Arab. Tidak ketinggalan juga serapan dan pinjaman daripada bahasa Sanskrit kerana penemuan batu bersurat di kawasan penutur jati bahasa Melayu seperti di Talang Tuo.
Imbuhan awalan “tuna” telah menerbitkan kata nama untuk memberi maksud 'tiada' atau 'tidak mempunyai' atau 'tidak tahu' atau lebih tepat lagi luka, cacat, rosak (Kamus Dewan Edisi, 2015). Entri ini ditandai dengan sl iaitu kependekan bagi sastera lama dan ki yang memberi maksud bahasa kiasan dengan makna, sesuatu kecelaan (kecacatan dll), menderita (kerana sesuatu yang tidak menyenangkan).
Terdapat 11 entri yang berkaitan dengan 'tuna' dalam Kamus Dewan Perdana (KDP) yang telah direkodkan secara rasmi dan boleh diguna pakai dalam situasi yang bersesuaian. Ejaannya hendaklah ditulis dengan satu kata sama seperti imbuhan awalan yang lain. KDP telah mendokumentasikan entri berhubung dengan diksi ini, iaitu:
Kendatipun begitu, pengguna bahasa Melayu disaran tidak wewenang untuk meletakkan imbuhan awalan 'tuna' tanpa merujuk pada kamus terlebih dahulu kerana dibimbangi berlaku salah faham dan kekeliruan.
Rujukan silang perlu dilakukan sama ada melalui Kamus Dewan Perdana, Kamus Dewan Edisi Keempat, Kamus Besar Bahasa Indonesia dan Kamus Bahasa Melayu Nusantara atau kamus-kamus lain yang memberi perluasan maksud dalam setiap entrinya.

* Azura Halid ialah seorang pencinta bahasa yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.
* Artikel ini adalah pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#tuna #sastera #pembendaharaan kata #azura halid
;