[KOLUMNIS] Tingkat kesedaran kawal masa penggunaan skrin digital di kala pandemik

Prof Madya Dr Shamsul Arrieya Ariffin
Julai 13, 2021 08:31 MYT
Ibu bapa perlu dorong anak-anak untuk terlibat dalam aktiviti yang tidak memerlukan skrin seperti bermain di luar, membaca buku atau bermain permainan menggunakan papan. - Gambar hiasan/Astro AWANI
PENDEKATAN digital sewaktu perintah kawalan penuh telah mengakibatkan rakyat tertumpu kepada menggunakan skrin peralatan teknologi termasuklah telefon pintar, tablet dan juga komputer peribadi.
Ini mengakibatkan semua orang termasuklah kanak-kanak pra sekokah, sekolah rendah, menengah dan universiti tertumpu menggunakan teknologi yang menggunakan paparan skrin.
Umumnya peralatan tersebut boleh dimanfaatkan oleh semua lapisan dan golongan masyarakat untuk tujuan dan kerja masing-masing.
Namun, kurang kesedaran, penggunaan skrin yang berlebihan terutamanya kepada kanak-kanak kecil tanpa dipantau oleh ibu bapa akan mengakibatkan kesan yang buruk terhadap kesihatan jika tidak dikawal dengan berkesan.
Tinjauan pendapat dilakukan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Lembah Klang pada 2019 mendapati, 78.3 peratus ibu bapa membenarkan anak-anak memiliki gajet dan hanya 35 peratus daripada mereka melakukan pemantauan terhadap anak-anak mereka.
Kanak-kanak kecil daripada usia bayi sudah gemar melihat skrin.
Menurut Dr Michael Mintz, psikologi klinikal di Hospital Nasional Kanak-kanak kepada makalah digital Romper yang bayi tertarik dengan warna dan cahaya pintar telefon pintar.
Otak bayi menerima input persepsi seperti cahaya dan bahasa. Ketika bayi menghampiri ulang tahun pertama, mereka mulai memahami betapa pentingnya telefon untuk kegunaan orang dewasa yang berada di sekitar mereka.
Kanak-kanak kecil memerhatikan orang dewasa menghabiskan masa yang lama untuk melihat telefon mereka, dan mereka mungkin menyedari betapa kerapnya orang dewasa menggunakan telefon di tangan.
Walaupun bayi gemar menggunakan telefon bimbit, para pakar mengesyorkan untuk mengehadkan paparan mereka pada masa skrin.
American Academy of Pediatrics” mengesyorkan agar ibu bapa mengelakkan masa penggunaan skrin untuk kanak-kanak di bawah 18 bulan kecuali dengan tele-video sesekali dengan orang tersayang.
Menurut mereka tiada masa diberi untuk mereka yang dibawah berumur dua tahun. Masa skrin termasuklah television, media elektronik, DVD, komputer dan permainan elektronik.
Manakala masa sebanyak sejam diperuntukkan mereka yang berumur dua ke dua belas tahun. Untuk remaja dan dewasa masa skrin mereka ialah tidak melebihi dua jam sehari.
Manakala masa untuk kerja rumah tidak termasuk.
Kementerian Pendidikan Malaysia menyediakan Garis Panduan PDPR ringkas iaitu setiap 30 minit pelajar berhenti selama dua minit.
Pada peralihan kelas dalam talian, selama lima minit diperuntukkan membuat senaman regangan.
Namun garis panduan ini ringkas dan boleh ditambahbaikkan.
Terdapat pakar kesihatan mengambil pendekatan amalan 20, 20, 20 di mana 20 minit lihat komputer, kemudian berhenti untuk merehatkan mata.
Seterusnya 20 saat lihat objek sejauh 20 kaki sebelum memulakan kerja semula.
Terdapat kesan terhadap perkembangan kanak-kanak jika tiada kawalan ibu bapa seperti kurangnya komunikasi dan perhatian, berlakunya kelewatan dalam perkembangan kognitif, kemurungan, kegelisahan.
Kesan masa skrin pada kesihatan boleh diperhatikan sama ada seisi keluarga melihat-lihat telefon pintar mereka pada masa yang sama TV dibuka di latar belakang.
Jelasnya terlalu banyak masa skrin boleh membahayakan masyarakat.
Berikut adalah beberapa cara kesihatan anda mungkin terjejas secara negatif dengan menghabiskan terlalu banyak masa di depan skrin.
Contohnya masalah obesiati, masalah tidur, sakit leher dan belakang yang kronik, dan kemurungan dan kegelisahan.
Masalah obesiti terjadi apabila terlalu banyak masa untuk melakukan aktiviti tidak aktif, seperti bermain permainan video atau menonton TV.
Ia boleh menjadi faktor risiko kegemukan.
Kesihatan jantung juga terjejas dan dapat menyebabkan risiko diabetes yang lebih tinggi, peningkatan tekanan darah atau kolesterol.
Masalah tidur kerana cahaya yang dipancarkan dari alat elektronik mengganggu kitaran tidur otak dan dapat mencegah tidur nyenyak.
Untuk tidur dengan lebih nyenyak, jauhkan layar dari bilik tidur dan hindarkan dari perkakasan sekurang-kurangnya satu jam sebelum tidur.
Sakit leher dan belakang yang kronik kerana waktu skrin yang terlalu panjang menyebabkan postur badan yang lemah, menyebabkan sakit leher, bahu dan belakang yang kronik.
Sebaliknya, dinasihatkan berehat dari duduk dan pergi berjalan-jalan, berdiri atau membuat regangan.
Pastikan kerusi memberikan sokongan punggung yang cukup dan cuba pastikan peranti berada pada tahap mata.
Masalah kemurungan dan kegelisahan terjadi kerana masa yang dihabiskan di hadapan skrin boleh memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan mental dan emosi.
Pakar mencadangkan bahawa masa dan kemurungan penggunaan skrin yang lebih tinggi dapat dihubungkan bersama dengan peningkatan tingkah laku bunuh diri dan melambatkan kemampuan seseorang untuk mengesan emosi secara umum.
Selain itu, kajian National Institutes of Health kajian pada 10,000 kanak-kanak mendapati bahawa kanak-kanak yang menghabiskan lebih dari dua jam sehari pada alat elektronik mendapat skor lebih rendah pada ujian berfikir dan kemahiran berbahasa.
Mereka yang mempunyai lebih dari tujuh jam masa skrin mengalami penipisan korteks otak, yang berkaitan dengan pemikiran dan pemikiran kritis.
Pertama, ibubapa perlu mengawal penggunaan peranti kepada anak-anak.
Mengehadkan masa skrin hanya beberapa jam sehari.
Kedua, menggunakan model elektronik secara sihat.
Ini kerana ibu bapa adalah teladan bagi anak-anak mereka.
Sebagai contoh menghidupkan TV di latar belakang atau menggunakan telefon pada masa terluang mungkin mempengaruhi anak-anak kecil.
Ketiga, ibu bapa perlu lebih luangkan masa tidak menggunakan gadget.
Pilih masa untuk seluruh keluarga anda bebas daripada penggunaan teknologi seperti telefon pintar, TV dan komputer.
Ini memberi peluang kepada keluarga untuk menghabiskan masa berkualiti bersama.
Keempat, menggunakan kawalan ibu bapa seperti menyaring atau menyekat kandungan yang tidak diingini.
Mereka boleh menetapkan had masa skrin harian yang dapat mengunci anak-anak anda dari aplikasi setelah mereka mencapai jumlah maksimum waktu penggunaan ditetapkan.
Kelima, ibu bapa menggalakkan aktiviti lain tidak memerlukan gadget di mana anak-anak bergantung pada teknologi elektronik untuk hiburan.
Sebaliknya, dorong mereka untuk terlibat dalam aktiviti yang tidak memerlukan skrin seperti bermain di luar, membaca buku atau bermain permainan menggunakan papan.
Keenam memastikan bilik tidur bebas skrin. Ibu bapa perlu meletakkan peraturan alat elektronik tidak dibenarkan di dalam bilik tidur.
Ini juga termasuk tablet dan alat teknologi yang dibawa oleh tangan yang mana anak-anak tertarik untuk bermain pada waktu malam, yang boleh mengganggu tidur mereka.
Tegasnya, pihak kerajaan, seperti KKM, SKMM dan KPM perlu bekerjasama menyediakan garis panduan yang komprehensif untuk penggunaan masa skrin dalam meningkatkan literasi teknologi kesihatan kepada masyarakat.

* Profesor Madya Ts Dr Shamsul Arrieya Ariffin, merupakan profesor madya, dan juga Pakar Teknologis, daripada Jabatan Komputeran, FSKIK UPSI Tanjong Malim Perak. Beliau juga penyelaras pelajar pasca Jabatan Komputeran.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
#telefon pintar #Kementerian Pendidikan #dalam talian #pandemik #pendidikan #PdPR #Kanak-kanak #bunuh diri #pelajar #pra-sekolah #kesihatan mata #bebas gajet #digital #sekolah #bayi #hiburan #SKMM #KKM #video #skrin #kawal masa
;