[KOLUMNIS] Terima kasih KPT
Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri
September 14, 2021 18:05 MYT
September 14, 2021 18:05 MYT
MAJLIS Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) ingin menzahirkan setinggi penghargaan kepada YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad atas pengumuman yang telah dibuat oleh beliau sebentar tadi.
Pengumuman ini sememangnya satu pengumuman yang ditunggu-tunggu oleh mahasiswa yang sebelum ini masih tidak mengetahui status kemasukan mereka ke kampus.
Secara asasnya, pengumuman yang dilakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada hari ini dapat memenuhi banyak resolusi yang telah dikemukakan oleh MPPK.
Sebelum ini, MPPK telah mengemukakan sembilan resolusi kepada pihak KPT.
Antara resolusi yang telah diambil kira dan dipertimbangkan oleh pihak KPT ialah berkenaan proses kemasukan pelajar kembali ke kampus.
KPT telah bersetuju untuk melaksanakan kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus secara berperingkat bermula 15 Oktober 2021 dimana hanya pelajar yang telah lengkap divaksin akan dibenarkan untuk kembali ke kampus.
Keutamaan juga diberikan kepada pelajar berkeperluan yang telah digariskan oleh pihak KPT sebelum ini.
Sesi pembelajaran juga akan diadakan secara hibrid dan akan ada kursus yang akan dijalankan sepenuhnya secara atas talian.
Bagi kursus atau program yang dijalankan secara atas talian ini, pelajar diberi kebebasan untuk kekal berada di lokaliti masing-masing bagi meneruskan sesi pembelajaran.
KPT juga telah menyatakan bahawa hanya pelajar, staf akademik dan staf bukan akademik yang telah mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin sahaja yang dibenarkan masuk ke kampus.
Perkara ini bagi pihak MPPK adalah sangat penting dalam mewujudkan persekitaran kampus yang selamat, sebagaimana yang diperjuangkan oleh MPPK sebelum ini.
Pelajar juga perlu segera mendapatkan vaksin terutamanya bagi pelajar yang perlu menghadiri kelas secara fizikal.
KPT telah bekerjasama dengan pihak CITF untuk melaksanakan Program ACC2Campus, sepertimana yang telah diumumkan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sebelum ini.
Bagi pelajar yang tidak boleh mendapatkan vaksin atas sebab-sebab kesihatan, pelajar perlu menghubungi IPT masing-masing untuk penyelarasan.
MPPK juga ingin menzahirkan penghargaan kepada pihak KPT atas inisiatif untuk memberi pengurangan yuran sebanyak 20 peratus kepada semua pelajar warganegara.
Bagi semester 1 sesi 2021/2022. Ianya bakal memberi manfaat kepada 555,340 pelajar dengan nilai keseluruhan sebanyak RM175 juta.
Pengurangan yuran ini sudah pasti akan meringankan beban pelajar terutamanya dalam mengharungi sesi
pembelajaran ketika pandemik ini.
Dengan pengumuman yang telah dilakukan sebentar tadi, MPPK merasakan bahawa KPT telah mengambil langkah yang sewajarnya dalam memastikan pergerakan pulang ke kampus berjalan dengan lancar.
KPT juga dilihat telah mengambil keputusan selepas mengambil kira pandangan semua pihak termasuk pelajar.
Perkara paling penting adalah pengumuman ini dilakukan lebih awal bagi memastikan semua IPT bersedia untuk kembali menerima pelajar.
MPPK memohon kepada kesemua IPT untuk mengeluarkan garis panduan yang jelas berkenaan kemasukan pelajar kembali ke kampus.
Pergerakan pelajar akan diuruskan oleh pihak IPT, termasuklah daripada segi penjadualan, mengenalpasti pelajar mengeluarkan surat kebenaran serta menyediakan pusat pengasingan di IPT.
IPT juga digalakkan oleh pihak KPT untuk memberikan kit ujian kendiri COVID-19 kepada para pelajar yang kembali ke kampus.
Oleh yang demikian, MPPK memohon kepada semua IPT untuk memberikan kit ujian kendiri COVID-19 secara PERCUMA kepada pelajar yang akan pulang ke kampus.
MPPK juga pada masa yang sama berharap agar pihak IPT dapat bekerjasama dengan pihak-pihak seperti kerajaan negeri dan syarikat penerbangan bagi memastikan pelajar yang akan pulang dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung, dan pelajar dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak dapat ke destinasi masing-masing dengan harga tiket penerbangan yang lebih murah.
MPPK sekali lagi ingin menzahirkan penghargaan kepada pihak KPT atas pengumuman hari ini dimana ianya dapat memenuhi banyak resolusi yang dikemukakan oleh MPPK sebelum ini.
Hal ini menunjukkan bahawa KPT dibawah YB Datuk Seri Noraini Ahmad mengambil kira pandangan mahasiswa terlebih dahulu sebelum membuat keputusan yang terbaik.
MPPK berharap agar semua mahasiswa yang akan ke kampus selepas ini dapat kembali ke kampus dengan selamat serta bebas daripada ancaman pandemik COVID-19.
* Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri ialah Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.