[KOLUMNIS] Teori 'Copycat', media dan tekanan emosi

Dr Ahmad Sauffiyan Hasan
Jun 27, 2021 17:53 MYT
Kesan Copycat berkaitan dengan media serta tingkah laku membunuh diri dan ia sudah lama dibincangkan. - Foto Astro AWANI
PANDEMIK COVID-19 bukan sahaja memberi kesan kepada golongan barisan hadapan dan juga peniaga, malah mereka yang makan gaji juga terkesan apabila hilang pekerjaan.
Mereka yang hilang pekerjaan dan mempunyai tanggungan yang besar seperti rumah, kereta, keluarga dan sebagainya pasti akan mengalami gangguan emosi mendalam.
Tetapi gangguan emosi terjadi bukan sahaja kerana hilang pekerjaan, ia juga boleh diakibatkan masalah kesihatan fizikal merosot akibat kurang aktif terlalu lama, kesihatan mental merosot, masalah kewangan meruncing dan masalah rumahtangga porak peranda akibat dari kehilangan sumber pendapatan.
Bagaimanapun, pada pandangan saya, gangguan emosi akibat isu-isu ini sahaja tidak semestinya menjadi faktor utama kepada tindakan untuk membunuh diri, walaupun mungkin saat itu mereka sudah ada niat.
Perubahan keputusan dari niat kepada tindakan untuk membunuh diri boleh berlaku apabila mereka yang sedang mengalami gangguan emosi terkesan dengan berita mengenai kes bunuh diri sewaktu pandemik.
Lebih memburukkan keadaan, keinginan mereka menjadi-jadi setelah membaca banyak laporan kes bunuh diri.
Kesannya, mereka yang mengalami gangguan emosi ini mengambil keputusan untuk meniru tindakan membunuh diri tersebut sebagai salah satu jalan kepada penyelesaian masalah pandemik COVID-19 yang membelenggu hidup mereka.
Walaupun pada hakikatnya, sebagai seorang yang normal, kita tahu berita tersebut bertujuan untuk melaporkan kejadian berkenaan dengan fakta.
Akan tetapi, bagi seseorang yang mengalami tekanan emosi akibat dilanda pelbagai masalah, mereka tidak dapat berfikir dengan jelas dan mempunyai interpretasi berbeza terhadap berita tersebut.
Kesan Copycat
Dalam dunia akademik, fenomena ini dikenali sebagai kesan Copycat (Copycat effect). Kesan Copycat, berkaitan dengan media serta tingkah laku membunuh diri dan sudah lama dibincangkan.
Contohnya, menurut Loren Coleman (2004) penulis buku The Copycat Effect: How the Media and Popular Culture Trigger the Mayhem in Tomorrow’s Headlines menulis, ‘kesan Copycat ini sangat mudah dijangka terjadi kerana liputan media yang menyeluruh mengenai kes-kes bunuh diri membolehkan kita memerhati secara langsung saat ia berlaku’.
Coleman (2004) memberi contoh kes bunuh diri oleh seorang artis Grunge bernama Kurt Cobain pada tahun 1994 di Seattle, Amerika Syarikat telah memberi kesan kepada peminatnya lalu menyebabkan kes bunuh diri Copycat berkaitan kes Kurt Cobain merebak sehingga ke luar Amerika Syarikat seperti Australia, Canada dan Perancis.
Coleman (2004) menambah, terdapat lebih 70 kes bunuh diri Copycat berkaitan kematian Kurt Cobain pada ketika itu.
Apabila kes bunuh diri Copycat semakin banyak ditiru oleh orang lain, maka fenomena ini boleh juga dikenali sebagai kesan Werther (Werther effect). Terma Kesan Werther diasaskan oleh seorang pengkaji bernama David Phillips pada tahun 1974.
Walaupun kesan Werther lebih dikaitkan dengan kejadian bunuh diri dari kumpulan pengikut seseorang artis, namun, liputan berita kes bunuh diri di kalangan orang awam dalam era pandemik COVID-19 telah memberi gambaran seakan wujud kesan Copycat dan kesan Werther dalam senario hari ini.
Buktinya semasa menulis artikel ini, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengatakan bahawa terdapat 266 kes bunuh diri telah dilaporkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac sehingga 20 Oktober, tahun lalu.
Sememangnya golongan yang emosinya terganggu kesan dari pandemik COVID-19 ini perlu dikenal pasti dan diberikan motivasi, bimbingan serta sokongan spiritual juga moral agar mereka mampu membina semula makna kehidupan.
Mereka bukan sahaja golongan bujang malah ada yang terdiri dari yang sudah berkeluarga.
Di Malaysia, wujud agensi kerajaan dan NGO yang sedia memberi kaunseling serta bantuan psikososial untuk mereka yang terganggu emosinya dalam mengharungi pandemik.
Contohnya, ada talian sokongan Psikososial COVID-19 yang dikendalikan oleh petugas psikologi KKM dan sukarelawan dari Mercy yang mana rakyat boleh menghubungi nombor-nombor seperti 03-2935-9935 untuk mendapatkan bantuan.
Kita juga mempunyai Befrienders yang beroperasi 24 jam sehari untuk memberi bantuan sokongan kepada mereka yang memerlukan tempat bercakap dan mendapatkan pandangan di talian mereka 03-7627-2929/03-7956-8145 atau melayari lama sesawang Befrienders untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.
Selain itu, saya juga mencadangkan setiap komuniti masyarakat menyediakan pusat ‘food bank’ agar golongan yang terkesan dengan pandemik dapat meringankan beban belanja untuk meneruskan kehidupan.
Kesimpulannya, bunuh diri bukanlah jalan penyelesaian dan jika anda perlukan bantuan atau seseorang untuk mendengar, hubungilah talian bantuan yang telah disediakan oleh kerajaan dan juga NGO yang sudi mendengar serta berbincang dengan anda.
Anda sebenarnya tidak berseorangan dan dengan itu berusahalah mendapatkan bantuan sokongan psikososial yang diperlukan.
----------------
* Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu kepada individu yang mengalami kemurungan.
Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7627-2929 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my selain di laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube untuk bantuan.

* Penulis adalah Pengasas/Konsultan Cyber Siasat Communication Bureau, bekas penyelidik dalam ilmu Perang Saraf Media dan Informasi dan pernah menjadi Felo Penyelidik Operasi Psikologi dan Propaganda di Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi (UiTM).
** Pandangan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#PDRM #NGO #KKM #PKP #COVID-19 #kesihatan mental
;