[KOLUMNIS] Teliti kos dan faedah ekonomi jika mahu laksana waktu kerja fleksibel
Dr Mohd Yusof Saari
April 21, 2024 22:45 MYT
April 21, 2024 22:45 MYT
PENULIS menyambut baik pengumuman oleh Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA) berkaitan dengan permohonan pengaturan kerja fleksibel secara formal oleh pekerja daripada majikan masing-masing. Pengaturan kerja fleksibel ini semakin ditekankan akibat perubahan landskap pasaran buruh pasca pandemik COVID-19.
Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa waktu kerja fleksibel ini bukan suatu perkara baharu dalam ekonomi moden. Contohnya, bekerja dari rumah (WFH) telah dipromosikan dan dilaksanakan terutamanya di negara-negara maju sejak awal tahun 2000-an.
Di Amerika syarikat WFH diamalkan secara praktikal dalam sektor perkhidmatan, dengan lebih daripada 50% pekerja berada dalam perkhidmatan profesional dan perniagaan, perkhidmatan maklumat, dan perkhidmatan kewangan.
Dari perspektif ekonomi, pengumuman pengaturan waktu kerja fleksibel ini bersifat intervensi dari sisi penawaran yang melibatkan peraturan dan perundangan perburuhan. Secara idealnya, sebarang intervensi sisi penawaran perlu mengambil kira sisi permintaan yang melibatkan impak kepada majikan dan pergerakan industri. Perkara ini memastikan kerajaan mendapat maklumat termaklum berkenaan dengan kos dan manfaat pengaturan waktu kerja fleksibel.
Pada pandangan penulis, cadangan pengaturan waktu kerja fleksibel memerlukan penelitian dari sudut ekonomi. Berikut penulis senaraikan parameter yang perlu diperhalusi sebelum sebarang ketetapan dan perlaksanaan:
- Implikasi produktiviti. Produktiviti buruh negara masih berada pada tahap sederhana. Walaupun jadual yang fleksibel dapat meningkatkan keseimbangan kerja-hidup dan kepuasan pekerja, ia juga boleh mempengaruhi tahap produktiviti syarikat berkenaan dan syarikat-syarikat lain di sepanjang rantaian perbekalan.
Di sisi lain, sektor-sektor yang melibatkan kerja fizikal, kehadiran di tempat, atau keperluan operasi yang ketat mungkin menghadapi cabaran dalam melaksanakan jam kerja fleksibel seperti sektor pembuatan, penjagaan kesihatan, peruncitan dan hospitaliti, dan pengangkutan dan logistik.
Secara peribadinya, penulis berpandangan masih terlalu awal untuk Malaysia melaksanakan pengaturan waktu kerja fleksibel secara berskala besar. Penulis tidak pasti apakah “kenyataan masalah” yang ingin diselesaikan oleh pengaturan waktu kerja fleksibel. Negara masih berdepan dengan situasi tahap produktiviti buruh yang sederhana. Justeru itu, perlaksanaan pengaturan waktu kerja fleksibel dijangka tidak memberi impak yang signifikan kepada pertumbuhan produktiviti buruh.
Kerajaan boleh mempertimbangkan projek rintis terlebih dahulu dengan sektor kerajaan menjadi ujian experimentasi. Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), kakitangan kerajaan persekutuan bekerja 4 hari setengah seminggu tetapi kami tiada peruntukan masa rehat untuk minum pagi dan makan tengahari.
Adakah kakitangan kerajaan di Malaysia bersedia untuk melakukan perubahan ini? Peluang hampir tiada untuk bersama rakan menikmati teh tarik, nasi lemak dan roti canai pada waktu pagi dan nasi campur pada waktu tengah hari.
* Dr. Mohd Yusof Saari merupakan anak Malaysia yang kini memegang jawatan Ketua Ekonomi Buruh di Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi dan/atau berdasarkan bidang tugasnya, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.