[KOLUMNIS] Tabir besi digital, apa pilihan Malaysia?
Mohd Imran Tamrin
Ogos 7, 2023 12:50 MYT
Ogos 7, 2023 12:50 MYT
KUALA LUMPUR: PERLUMBAAN menerajui Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sudah bermula dengan hampir seluruh negara-negara dunia sedang mempersiapkan diri mereka dengan bahan bakar revolusi - teknologi 5G.
Kejayaan melaksanakan teknologi ini bukan sahaja dapat mencetuskan transformasi ekonomi dan sosial, ia juga akan menentukan pola permainan geopolitik dunia pada masa hadapan.
Pemain geopolitik dunia abad ke-21 kini bukan lagi institusi kenegaraan dan perniagaan tetapi turut melibatkan media sosial.
Media yang merupakan institusi keempat semakin hilang pengaruh dengan kemunculan media sosial yang mencabar autoriti dan sumber pemberitaan, ia bukan sahaja mewujudkan wacana pemikiran - berakal atau dangkal bukan persoalan - tetapi juga berlaku dalam kadar sangat pantas berbanding media tradisional sebelum ini.
Kemunculan media sosial dan sekutu komunikasinya seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, Telegram, WhatsApp dan terbaharu TikTok mengubah cara manusia berkongsi dan berbincang tentang semua isu yang rakyat marhaen di akar umbi boleh mempengaruhi dasar kenegaraan.
Walaupun teknologi 5G bukan sekadar soal “perkongsian sosial” tetapi meliputi aspek kehidupan lebih “besar dan penting” seperti pengangkutan, kesihatan dan perbandaran, peranan media sosial boleh mempengaruhi acuan sektor-sektor tersebut.
Bayangkan sekiranya wujud pihak yang menjadi “invisible hand” dalam persekitaran teknologi 5G.
Pihak yang boleh memanipulasikan algoritma media sosial, pihak yang boleh menjejak dan secara berkesan mengacu naratif rakyat demi kepentingan mereka, pihak yang sembunyi-sembunyi boleh mengetahui pelan dirancang pihak berkuasa demokratik dipilih rakyat dan secara berkesan mengagalkan usaha tersebut.
Disebabkan kebimbangan inilah wujud perang perdagangan blok kuasa besar dunia dalam pelaksanaan teknologi 5G. Dan Malaysia perlu mempersiapkan diri menghadapinya dengan cara kita sendiri.
TABIR BESI DIGITAL
Apabila Amerika Syarikat seawal tahun 2000-an bertindak mengekang kemajuan pergerakan syarikat teknologi China seperti Huawei dan TikTok, ia mewujudkan “tabir besi digital” yang memaksa dunia memilih antara Amerika dan China.
Ia seolah-olah mengulangi kembali sejarah Perang Dingin antara ideologi kapitalisme/demokrasi dan sosialisme/komunisme.
Situasi ini tidak berlaku sekelip mata, benih perpecahan sudah mula wujud sejak China membuka pintunya kepada dunia, “meraikan” ekonomi kapitalis dalam persekitaran politik komunisme pada tahun-tahun 1980-an.
Dunia menyambut China dengan tangan terbuka kerana negara itu mempunyai sumber yang menepati resepi kapitalisme- tenaga buruh banyak, kos murah, marjin keuntungan besar dengan kos paling minimum.
Dalam hanya beberapa tahun sahaja, China muncul sebagai kuasa besar ekonomi global, menyumbang 18.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia pada 2022.
HUAWEI, TIKTOK DAN KESELAMATAN NEGARA
Seiring dengan kemajuan ekonomi, China turut memperluaskan hasrat dan cita-cita politik komunis mereka menerusi teknologi 5G dan media sosial menerusi dua syarikat utamanya, Huawei dan TikTok.
Sekadar pengetahuan umum, teknologi syarikat Huawei digunakan dalam pelaksanaan pemantauan sosial “Big Brother” di China termasuk di Wilayah Xinjiang bagi mengekang kebebasan beragama Uigyhur, krisis yang disifatkan PBB sebagai “krisis kemanusiaan terburuk dunia sekarang”. Tetapi ini kisah lain.
Dalam konteks 5G, Huawei mula meluaskan pasaran dengan produk berkualiti tinggi dengan harga munasabah ke peringkat global, yang pasti mereka berjaya menarik minat banyak negara dunia.
Huawei mula disekat di kebanyakan negara kuasa besar ekonomi termasuk Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, India dan Singapura kerana wujud kebimbangan sekuriti dan keselamatan negara.
Jerman misalnya, mengarahkan semua peranti telekomunikasi dalam menara 5G yang dipasang syarikat China diganti serta-merta, Denmark meluluskan undang-undang yang menyekat penyertaaan syarikat China dalam pelaksanaan 5G selepas Huawei didapati mengintip syarikat telekomunikasi negara itu. Portugal turut meluluskan undang-undang serupa.
Huawei yang disekat di negara-negara Barat mula mengalihkan perhatian kepada negara-negara Afrika dan Asia termasuk Asia Tenggara, yang meletakkan mereka di hadapan tabir besi digital.
Antara Amerika dan China siapa perlu dipilih demi kepentingan negara masing-masing? Ia bukan situasi yang menyenangkan.
Sektor media sosial pula menyaksikan TikTok yang dilancarkan pada 2016 berkembang dengan sangat pesat.
Pada 2021, ia merekodkan 656 juta pengguna di seluruh dunia, jumlah penggunannya dianggarkan berkembang sekitar 15 peratus setiap tahun dan pada akhir 2022 ia merekodkan 755 juta pengguna.
Dan pada 2025, jumlah pengguna TikTok seluruh dunia dianggarkan mencecah 955.3 juta.
Dalam laporan dikeluarkan Kongres Amerika Syarikat bertajuk “TikTok: Recent Data Privacy and National Security Concerns”, ia menyuarakan kebimbangan keselamatan berkaitan dengan penggunaan TikTok berkait rapat dengan sifat aplikasi itu yang mengutip data peribadi sensitif penggunanya yang boleh digunakan kerajaan komunis China melakukan propaganda bagi mempengaruhi sentimen awam.
Ia turut melaporkan bagaimana data peribadi pengguna yang disimpan TikTok adalah “melebih-melebih” dan walaupun ia disimpan di Amerika Syarikat, pekerja ByteDance- syarikat induk TikTok- di China sering mengaksesnya.
Laporan turut menyentuh pengaruh kandungan algortima TikTok yang boleh digunakan bagi penyebaran maklumat salah, propaganda dan saringan tanpa asas.
Kesemua kebimbangan Kongres ini turut dialami Malaysia apabila kandungan menghasut 3R tersebar luas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu sehingga memaksa pegawai TikTok bertemu pihak berkuasa Malaysia bagi membincangkan hal itu.
India dan beberapa wilayah di Amerika Syarikat sudah mengharamkan TikTok daripada digunakan penduduk mereka.
Di Amerika Syarikat juga, peranti milik penjawat awam dilarang daripada memuat turun aplikasi tersebut.
APA PERLU MALAYSIA LAKUKAN?
Pertimbangan pilihan antara Amerika dan China yang perlu dipilih Malaysia bukan mudah.
Walaupun China menerusi Huawei dan TikTok berpotensi mendatangkan risiko keselamatan negara, negara barat juga bukannya maksum.
Facebook misalnya sebelum ini terpalit kontroversi dengan penyalahgunaan data peribadi dalam skandal “Cambridge Analytica” memaksa Mark Zuckerberg menghadap Kongres untuk memberikan penjelasan.
Google pula berdepan pelbagai kes mahkamah di seluruh dunia kerana monopoli enjin carian dan perkongsian keuntungan tidak adil.
Tetapi yang membezakan kesemua ini adalah kebebasan dan kebertanggungjawaban syarikat Barat terhadap pengguna mereka.
Pemisahan antara sektor perniagaan dan kerajaan jelas dan wujud institusi kehakiman yang telus dan boleh diharapkan.
Malaysia kini berdepan dilema dalam pelaksanaan teknologi 5G dengan pengenalan kontraktor kedua dijangka bermula awal tahun depan.
Walaupun rasional perubahan daripada pemborong rangkaian tunggal (SWN) kepada dwi pemborong (DWN) tidaklah dapat difahami, kita berharap ia berlaku demi kepentingan rakyat, bukannya kepentingan korporat dan komersial yang mungkin menjadi proksi kepada syarikat asing berkepentingan negara luar.
Kita juga mengharapkan lebih banyakperaturan dibuat kepada media sosial, bukan semata-mata sekatan kandungan yang terlalu subjektif dan tidak perlu bagi mewujudkan masyarakat lebih terbuka, berpandangan jauh dan meraikan perubahan.
Yang perlu disentuh Kementerian Komunikasi dan Digital adalah bagaimana aplikasi media sosial dan teknologi 5G ini memberi risiko keselamatan kepada data pengguna yang boleh disalahguna bagi mempengaruhi naratif awam demi kepentingan jahat pihak luar tertentu.
Jadi Fahmi Fadzil apa rancangannya sekarang?
* Datuk Mohd Imran Tamrin merupakan peguam dan pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis berdasarkan bidang tugasnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.