[KOLUMNIS] Suara rakyat dan golongan rentan tidak harus terus diketepikan pihak berkuasa
Hartini Zainudin
Disember 27, 2021 18:56 MYT
Disember 27, 2021 18:56 MYT
“BARANGKALI kita perlu pulang ke pangkal jalan dalam generasi ini. Bukan sahaja kerana kata-kata menyakitkan hati dan perbuatan ganas daripada mereka yang jahat, tetapi juga untuk tindakan berdiam diri yang mengejutkan dan sikap acuh tidak acuh orang-orang baik yang duduk menanti dan berkata, “Tunggu tiba masanya.”
- Martin Luther King Jr., A Testament of Hope: The Essential Writings and Speeches
Tidak pernah saya berasa cemas seperti saya alami kebelakangan ini.
Saya bertambah gelisah dengan setiap kejadian yang saya lihat, dan saya risaukan golongan muda yang bakal mewarisi apa yang kita berkeras mahu tinggalkan.
Kita perlu halang arus kejahilan dan ketakutan, yang tersebar luas dalam kalangan komuniti-komuniti Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan.
Golongan miskin, yang kelaparan, yang dipinggirkan, yang rasis, yang ber-xenofobia, yang didiamkan, yang tersembunyi, yang sudah putus harapan.
Mereka semua perlu bantuan. Kegelisahan-kegelisahan mereka perlukan perwakilan bagi membantah sikap tidak-apa dan maklumat salah yang mereka terima hari ini.
Sewaktu saya menulis komentar ini, Lembah Kelang dan lain-lain tempat di Malaysia gusar menanti ribut yang bakal kembali di hujung tahun yang mengancam untuk menenggelamkan kejiranan yang masih sedang pulih dan menimbulkan keperluan untuk lebih banyak selimut dan makanan disampaikan.
Ada bayi-bayi lemas, terlepas daripada tangan ibu-ibu yang keletihan setelah memikul mereka semasa menunggu untuk dua hari, namun akhirnya kehilangan jua.
Banjir yang paling teruk sejak bertahun tetapi kegiatan penyelamatan dan pelan pelaksanaannya mengambil masa berhari-hari untuk diaktifkan.
Pada masa yang sama, pemimpin warga awam dan komuniti akar umbi dan golongan muda datang untuk menyelamatkan keadaan. Lebih parah lagi, kita sebenarnya telah diberi amaran untuk bersiap-sedia menghadapi banjir kilat lima bulan yang lalu oleh Nurul Izzah.
Tidak ada sesiapa yang mendengar amaran beliau.
Mengapa? Kerana dia daripada parti politik yang salah? Kerana dia muda dan pintar? Kerana dia wanita? Adakah ini menjadikan kekhuatiran beliau kurang benar di mata mereka yang berkuasa dan pembuat dasar yang sepatutnya lebih bijaksana?
Saya dan teman-teman telah bertemu seorang wanita berusia 22 tahun dua minggu lalu yang mengirim sebuah kertas cadangan pembiayaan yang cukup mengagumkan. Dia meminta peluang untuk membuka restoran sendiri.
Dia lahir dari latarbelakang yang susah, bertutur tiga bahasa, pintar dan ringan tulang, tetapi tidak layak mendapat pinjaman atau geran untuk memulakan perniagaan. Dia menetap secara percuma di rumah cikgunya kerana tidak mampu untuk tinggal di tempat lain.
Kertas cadangannya akan diluluskan, walaupun berhadapan seribu satu halangan. Dia sangat berbakat tetapi tidak mendapat perhatian, dan memerlukan sokongan sedemikian.
Di sebuah kawasan di Sabah yang selalu tidak dipedulikan, atap zink rumah seorang ibu tunggal dengan tujuh orang anak telah tercabut dan rumah mereka runtuh setelah dilanda ribut kencang. Mereka berlindung semalam di bawah sebuah pokok, berselimutkan kain tarpaulin sementara menanti ribut reda. Alhamdulillah, tidak ada sesiapa tercedera.
Di Kelantan, seorang lagi ibu tunggal memohon RM150 – untuk menampung sewa dan kos makanan sebulan. Dia malah tidak memiliki kos tambang untuk tiga bas yang perlu dinaiki untuk berdaftar dengan jabatan kebajikan di bandar, untuk sekadar mengisi bermuka surat borang pendaftaran sebelum mengambil tiga bas untuk pulang.
Jika dia mempunyai tambang itu sekali pun, di mana harus dia tinggalkan tiga orang anaknya sementara itu?
Saya telah menyertai sebuah mesyuarat bersama sekumpulan pereka cipta muda yang bekerjasama dengan dua universiti tempatan di Kuala Lumpur.
Mereka meminta nasihat daripada rakan saya tentang cara membangunkan kotak permainan AI mereka – apakah cara terbaik untuk sampai kepada kanak-kanak berumur tadika yang miskin dan terpinggir, yang tiada akses kepada pendidikan awal kanak-kanak.
Begitu banyak tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak telah tutup dalam tempoh dua tahun ini. Bagaimana ibubapa tunggal, khususnya dalam komuniti miskin, dapat bekerja jika mereka tiada tempat untuk hantar anak-anak mereka?
Baru-baru ini, saya mendapat tahu peningkatan penggunaan pendidikan dalam talian sebenarnya telah meningkatkan kadar keciciran sekolah kerana kanak-kanak berlatar belakang susah tidak mempunyai akses kepadanya.
Terdapat peningkatan dalam kes buruh paksa kanak-kanak yang dilaporkan (baca: pemerdagangan manusia), tetapi Menteri Dalam Negeri tegas menyatakan bahawa buruh kanak-kanak hanya dalam kalangan migran dan bukan warga Malaysia.
Saya tak perlu ulangi bahawa banyak keluarga telah hilang pekerjaan dan tiada makanan! Maka kanak-kanak terpaksa bekerja untuk membantu keluarga mereka. Pemilik kilang yang tidak berhati perut akan mengambil budak 10 tahun untuk bekerja dan tidak memberi mereka gaji.
Kita perlu merombak semula Akta Buruh untuk memastikan kanak-kanak kekal di sekolah. Ini bukan sahaja isu golongan migran, Tuan Menteri!
Usaha sokongan untuk Alternatif kepada Penahanan (ATD) kanak-kanak kini sudah di tahun kesepuluh.
Kami yang berusaha dalam isu pelindungan kanak-kanak ini sedang menanti (dan menanti) untuk melaksanakan projek perintis yang akan membenarkan lima orang kanak-kanak dikeluarkan dari pusat penahanan dan diletakkan dalam ruang yang lebih berperikemanusiaan dan menggalakkan bersama NGO-NGO. Susah sangatkah untuk memahami mengapa perkara ini perlukan perhatian segera?
Saya tampilkan contoh-contoh memilukan ini kerana soalan-soalan hakiki saya ialah – selama manakah fakta-fakta ini akan didiamkan? Berapa lama lagikah suara-suara rakyat Malaysia akan diendahkan? Di manakah akses kepada keadilan sosial? Jelas kita perlu beralih daripada status quo berwakil rakyat yang tidak membawa penyelesaian.
Tan Sri Nazir Abdul Razak telah melobi untuk penubuhan sebuah Perhimpunan Rakyat untuk Malaysia yang Lebih Baik (Perhimpunan Rakyat). Saya memberi sokongan kepada inisiatif ini kerana saya tidak mahu menjadi satu lagi suara yang diketepikan.
Saya mahu Noraini dan tujuh orang anaknya dapat berhenti hidup di jalanan, mampu memiliki pakaian bersih dan kering, cukup makan dan aman. Saya mahu Nurul dapat menerima bantuan agar dapat bekerja, dan dapat menghantar anak-anaknya ke sekolah.
Saya mahu lihat Farah terima pinjaman yang sememangnya dia layak terima dan pihak berkuasa membantu dia buka restoran.
Ayuh keluarkan Ahmad daripada pusat penahanan – umurnya 10 tahun dan dia sebatang kara.
Saya harap Pak Cik Mat tidak risau tentang bumbung atas kepalanya atau perlu memanjat bumbung tersebut dalam keadaan dia sudah sukar berjalan. Saya mahu menyakinkan Encik Lim bahawa makanannya akan sampai kepada golongan miskin dan dia tidak perlu meminta isterinya memasak sebuah lagi periuk besar makanan untuk kumpulan sama minggu hadapan.
Bolehkah semua orang yang ‘menyambut’ musim perayaan ini di kampung-kampung dan ladang-ladang sekurang-kurang ada cukup makanan?
Kita perlu menganalisa sebab-sebab yang membangkitkan isu-isu ini, bahaskan mereka secara terbuka dan lucutkan sebarang unsur politik daripada mereka.
Kita sebagai warganegara perlu bersama menyertai himpunan seperti Perhimpunan Rakyat supaya pemegang taruh dapat menyampaikan input yang benar dan berharga dengan tujuan mendapatkan penyelesaian melalui proses perundingan bagi mencapai cadangan yang sesuai digunapakai dan bukan sekadar janji-janji manis.
“Khidmat anda untuk matlamat yang mementingkan diri sendiri tidak akan membawa anda lebih jauh daripada diri anda sendiri tetapi khidmat anda untuk matlamat sejagat, yang dikongsi bersama, akan membawa anda ke keabadian. - Marcus Garvey