[KOLUMNIS] Sorotan kemerosotan mata pelajaran Sains dan Matematik: Fenomena biasa pendidikan negara?
Dr Abdul Mutalib Embong, Mohd Zulkanain Mamat
Jun 23, 2024 18:23 MYT
Jun 23, 2024 18:23 MYT
MASIH belum terlewat untuk kita mengucapkan tahniah kepada pelajar yang baharu mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia.
Seramai 11,713 calon memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 10,109 calon pada tahun 2022.
Terengganu sekali lagi mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dengan mencapai nilai Gred Purata Negeri (GPN) 4.41, mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.60.
Namun, dalam masa sama, minat pelajar dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dilihat semakin merosot dan fenomena ini amat membimbangkan.
Dapatan ini berdasarkan peratusan calon yang mengambil jurusan sains tulen dalam SPM yang dikesan berada pada paras bawah 15.2 peratus.
Dalam lain perkataan, daripada 100 pelajar, hanya 15 orang sahaja yang akan mengambil aliran sains tulen.
Bagi subjek Matematik, lebih 85,000 pelajar gagal dan hampir 190,000 hanya mampu mencapai tahap lulus minimum dengan gred D dan E .
Untuk rekod, subjek Matematik Tambahan menunjukkan penurunan sebanyak 3.33%, Biologi pada kadar (-2.2%), Fizik (-1.42%), dan Kimia (-1.42%) pada tahun 2023 berbanding tahun 2022.
Matematik Tambahan dan tiga subjek Sains tulen ini adalah prasyarat untuk membolehkan pelajar ke peringkat pengajian tinggi dalam aliran teknologi tinggi seperti bidang perubatan, kejuruteraan, farmasi, bioteknologi dan cabang jurusan berkaitan.
Melihat kepada unjuran kemerosotan itu, dibimbangi banyak kuota pengajian membabitkan bidang sains di universiti tidak dapat dipenuhi kerana kekurangan calon daripada aliran ini.
Seterusnya, negara akan kehilangan tenaga kerja profesional dalam bidang berkaitan teknologi, kejuruteraan dan perubatan seperti doktor dan saintis dan jika pola ini berterusan.
Kita mungkin terpaksa mengandalkan tenaga kerja luar negara, sekali gus menghalang kemajuan negara dalam inovasi serta pembangunan teknologi.
Antara elemen yang tidak mendorong pelajar memilih aliran sains ialah mereka diberi kebebasan memilih bidang diminati selepas Tingkatan Tiga mulai 2017, tanpa perlu berdasarkan keputusan peperiksaan lagi.
Kelemahan juga wujud dari sudut struktur, tenaga pengajar, aset dan keperluan pendidikan, silibus dan pedagogi.
Kemudahan makmal sains, contohnya, tidak diselenggara dengan baik menyebabkan daya saing antara rakan-rakan di negara serantau seperti Singapura, Vietnam serta Thailand jauh mendahului Malaysia.
Stigma lain adalah jurusan sains tulen sukar dipelajari, difahami dan hendak lulus SPM serta tidak menjanjikan peluang kerjaya serta gaji lumayan setimpal dengan pengorbanan masa, tenaga dan akal yand dicurahkan.
Pada alaf kini pula, kerjaya sebagai pempengaruh (influencer) telah dianggap sebagai bidang yang menguntungkan dan boleh menghasilkan pendapatan yang lumayan.
Keadaan ini menyebabkan satu tarikan kepada sesiapa sahaja termasuklah pelajar, terutamanya anak Melayu, untuk menceburi dunia influencer dan menyumbang kepada kurang minatnya matapelajaran sains.
Ini amat malang kerana hakikatnya saintis Melayu dulu sudahpun memahami ilmu kimia, fizik dan biologi untuk menghasilkan peradaban sains dan inovasi.
Contohnya, bangsa Melayu sudah mencipta teknologi piston api 200 tahun sebelum Barat, iaitu melalui penciptaan gobek api.
Ia sudah dicipta di Nusantara sejak abad ke-17 lagi dan mengguna pakai prinsip pemampatan. Prinsip gobek api adalah memampatkan piston sehingga mencapai kepanasan 430 darjah Celsius.
Barat yang mendapat ilmu ini seterusnya menghasilkan sistem enjin diesel, lalu setelah dipatenkan, terciptalah enjin pembakaran dalam (internal combustion engine) pertama di dunia.
Kehebatan seni bina Melayu dulu turut direfleksikan daripada binaan kebanyakan istana yang melibatkan pengudaraan semula jadi atau reka bentuk pasif.
Ia mengguna pakai sumber semula jadi seperti angin, cahaya matahari dan pergerakan solar untuk memperoleh keselesaan termal. Seterusnya seni bina rumah tradisi ini dijadikan rujukan oleh sarjana Barat.
Penghayatan terhadap minat sains dan matematik seharusnya dipupuk oleh ibu bapa dan semuanya bermula dari rumah. Selain itu, dengan mem\biasakan membawa mereka mengunjungi pameran sains dan teknologi.
Pada peringkat sekolah, program interaktif dan menyeronokkan boleh diadakan bagi menarik minat pelajar terhadap sains dan matematik termasuk pertandingan inovasi, eksperimen, lawatan ke pusat sains dan teknologi, serta pendedahan kepada aplikasi dunia nyata dari dua bidang ini.
Sekolah juga perlu menyediakan sokongan tambahan seperti kelas tambahan atau pendedahan kerjaya dalam bidang berkaitan yang dapat membantu membangkitkan minat anak-anak.
KPM sebagai badan induk kepada sistem pendidikan negara disaran mengorak langkah yang lebih proaktif, dengan mengadakan integrasi kurikulum yang lebih menarik dan relevan dengan aplikasi dunia nyata sains dan matematik, peningkatan latihan guru, serta peluang pembelajaran luar bilik darjah.
Pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) dan insitusi pengajian tinggi yang mempunyai kepakaran tinggi juga boleh membantu meningkatkan minat pelajar dalam sains dan matematik.
Natijahnya, kita pernah dan boleh berbangga dengan kejayaan anak watan yang sanggup meredah samudera berbekalkan ilmu sains di dada. Legasi ini perlu diteruskan.
Ali Amit atau lebih dikenali sebagai Ali Wallace contohnya merupakan anak jati Kampung Jaie, Sarawak yang pernah menjadi pembantu kepada Alfred Russel Wallace dari tahun 1854 hingga 1858.
Seperti Charles Darwin, Wallace mengadakan ekspedisi penerokaan sekitar nusantara termasuk di Tanah Melayu.
Di sinilah beliau membuat penemuan berkenaan flora dan fauna yang kemudian menjadi asas kepada buku The Malay Archipelago by Alfred Rusell Wallace.
Bahkan, jika kita menyusuri kehidupan lampau masyarakat Melayu, mereka adalah masyarakat yang peka dengan alam dan persekitaran.
Dengan itu, mereka melakukan pelbagai kajian, eksperimen dan pemerhatian yang dizahirkan melalui peribahasa-peribahasa yang indah sebagai wadah terakhir buat pembaca.
- Kalau sama tinggi kayu di rimba, di mana angin akan lalu
- Di mana batang terguling, di situ cendawan tumbuh
- Bagai gelombang dua belas
- Bak mandi di air kiambang, pelak lepas gatal pun datang
- Gabak di hulu tanda akan hujan, cewang di langit tanda akan panas
- Anak sungai lagi berubah, inikan pula hati orang
Dr Abdul Mutalib Embong dan Mohd Zulkanain Mamat merupakan tenaga pengajar di RIG 4 ( Kelestarian Hidup), Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu
Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.