[KOLUMNIS] Sijil palsu COVID-19: Ke mana hilangnya nilai integriti?

Irmohizam Ibrahim
Januari 26, 2022 20:16 MYT
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa hukuman paling berat harus dikenakan terhadap pihak yang mengeluarkan sijil palsu kerana ia adalah kesalahan serius yang boleh membahayakan nyawa orang ramai. - Gambar fail
APABILA membaca laporan yang merujuk kepada kewujudan sijil palsu vaksin, saya amat terkejut.
Dilabel palsu sebab sijil dikeluarkan tetapi suntikan vaksin tidak diterima oleh individu yang sepatutnya dimasukkan vaksin ke dalam tubuh badan mereka.
Saya tidak menjangkakan sama sekali keadaan ini akan berlaku di negara kita.
Persoalan yang timbul dalam minda saya, apakah kita sanggup berbuat demikian?
Sebelum ini kita hanya mendengar mengenai perbuatan membeli sijil sakit palsu, yang telah termasuk dalam radar pihak berkuasa.
Malangnya, pada hari ini perbuatan seumpama itu sudah menular sehingga memiliki sijil vaksin COVID-19.
Hanya kerana tidak mahu divaksin, dan dengan membayar RM500, ada individu yang menggadai nilai diri dalam urusan vaksinasi, sekali gus menggugat keberkesanan program vaksinasi.
Mengikut laporan media, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima laporan kes pusat perubatan menjual sijil vaksinasi COVID-19 palsu di Selangor, Terengganu, Johor dan Kelantan.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, kegiatan berkenaan di seluruh negara masih berada pada tahap terkawal, selain dipantau pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Klinik-klinik yang dikesan dilaporkan menyasarkan golongan antivaksin atau tidak mahu menerima vaksin.
Mereka yang tidak mahu vaksin tidak disuntik tetapi dikeluarkan sijil dan vaksin dibuang begitu sahaja manakala botolnya pula dipulangkan kepada Kementerian Kesihatan sebagai tanda sudah disuntik.
PDRM dikatakan telah menasihatkan pihak klinik supaya bertanggungjawab dan jujur dalam memudahkan urusan rakyat bagi mendapatkan vaksin.
"Kita turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam hal ini dan maklumat kegiatan jual vaksin palsu akan dikongsi bersama," kata Razarudin.
Dengan menyifatkan perkembangan itu sebagai satu isu serius, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes pengeluaran sijil vaksinasi COVID-19 palsu dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai menegaskan, hukuman paling berat harus dikenakan kerana ia adalah kesalahan serius yang boleh membahayakan nyawa orang ramai.
“Agak mengejutkan apabila lebih 5,000 sijil vaksinasi dikeluarkan oleh klinik di Gombak kepada individu yang tidak diberikan suntikan vaksin Covid-19," kata Dr Koh sambil menambah, pihaknya tidak akan membenarkan golongan terbabit mencalarkan nama baik dan reputasi profesion perubatan.
Malah tambah beliau, MMA akan menyokong tindakan paling tegas dikenakan terhadap mana-mana pengamal perubatan yang didapati terlibat dalam tindakan jenayah dan tidak bertanggungjawab itu.
Bagi pengamal perubatan berdaftar, lesen mereka boleh dibatalkan oleh Majlis Perubatan Malaysia.
Unit Penguatkuasaan Kemudahan Swasta di Kementerian Kesihatan juga telah diminta mengambil langkah tegas lain seperti penutupan premis serta-merta dan mendakwa mereka yang terlibat di mahkamah.
Tindakan individu terbabit termasuk segelintir pengamal perubatan bukan sahaja menunjukkan mereka tidak berintegriti, malah tindakan mereka turut dilihat membawa risiko kepada pihak lain yang sentiasa mengambil berat tentang kepentingan vaksin dalam usaha besar negara memerangi penularan dan jangkitan pandemik COVID-19 dalam jangka panjang.
Golongan berkenaan terlupa bahawa vaksin COVID-19 diberikan secara percuma oleh kerajaan. Setiap penerima tidak perlu mengeluarkan wang dari saku mereka.
Sebaliknya, mereka hanya perlu hadir untuk menerima vaksin pada masa di lokasi yang ditetapkan.
Kata "tidak" kepada sijil vaksin palsu merupakan tindakan pertama yang perlu dilakukan oleh setiap rakyat.
Jika ada mana-mana yang enggan menerima vaksin dan menolak vaksin wajib, itu adalah hak mereka, walaupun sepatutnya tidak harus berbuat demikian.
Tetapi janganlah sehingga menyusahkan orang lain dan memindahkan risiko jangkitan kepada orang ramai, yang kemungkinan boleh jadi mereka itu anggota keluarga masing-masing atau orang tersayang mereka.
Budaya berintegriti sangat penting untuk mempertahankan slogan "Kita Jaga Kita". Hanya kita yang boleh menjaga kita.
Jika kita tidak berintegriti bermakna "kita tidak boleh jaga kita".
Hanya dengan sokongan dan gandingan setiap pihak, kita boleh menjayakan usaha memerangi pandemik secara menyeluruh.
Menjayakan program vaksinasi adalah usaha kolektif yang penuh berintegriti.
Pandemik ini melibatkan soal nyawa. Ia melibatkan soal hidup mati.
Usaha kecil setiap rakyat, tidak kira pangkat, kedudukan dan latar belakang, amatlah penting.
Di China, misalnya, hanya apabila walaupun kes jangkitan dikesan dalam jumlah yang kecil - tiga kes sebagai contoh, pihak berkuasa mewajibkan berjuta-juta orang diuji atau disaring. Ia dilaksanakan oleh pihak berkuasa demi sasaran sifar kes COVID-19.
Di Malaysia kadar jangkitan masih setinggi. Sekitar 4,000 kes setiap hari. Bermakna kita belum bebas sepenuhnya meskipun jumlah kes telah jauh menurun berbanding ketika tahun 2021. Kita belum berjaya sepenuhnya.
Hanya tindakan yang diiringi dengan budaya berintegriti kita boleh berjaya sepenuhnya. Sentiasa ingat mengenai kepentingan dalam jangka panjang semua pihak.
Jangan hanya dengan RM500 kita korbankan kepentingan bersama. Duit boleh dicari, nyawa tidak boleh. Jujurlah!
Di sebalik usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh mahu memupuk budaya berintegriti, tindakan tidak bertanggungjawab individu tertentu dalam aspek vaksin pada masa sekarang, iaitu dengan memperoleh sijil vaksin palsu dan tidak menerima suntikan wajib, sesungguhnya amat menyedihkan.
Semua pemegang taruh dalam program vaksinasi termasuk rakyat perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan tiada jalan singkat atau jalan menjijikkan. Jadilah rakyat yang bertanggungjawab.
Memastikan kita mendapat vaksin adalah hak dan tanggungjawab kita. Kita berhak menerima suntikan dan menjadi tanggungjawab kita agar suntikan vaksin melawan COVID-19 diterima sepenuhnya pada masa yang ditetapkan.
Bukannya pergi ke klinik, tetapi suntikan tidak dimasukkan ke dalam badan dan menerima sijil vaksin.
Pendek kata, kita masih jauh dalam memupuk nilai-nilai integriti yang menyeluruh, iaitu dalam setiap tindakan kita masih jauh.
Banyak yang perlu dilakukan dalam memastikan kita tidak menggadai dan mengabaikan nilai-nilai integriti dalam kehidupan diri kita. Walaupun ia melibatkan perkara yang sekecil-kecil.
Rakyat Malaysia perlu bangkit dalam memastikan budaya berintegriti diamalkan dengan jujur, ikhlas dan tanpa gagal dalam kehidupan kita sepanjang masa, dan jayakan program vaksinasi.

* Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim merupakan Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dan Naib Presiden Majlis Datuk Persekutuan Malaysia.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#Sijil palsu COVID-19 #nilai integriti #Kolumnis AWANI #Irmohizam Ibrahim
;