[KOLUMNIS] Semangat nasionalisme tersirat dalam peribahasa Melayu
Azura Halid
Ogos 31, 2024 17:17 MYT
Ogos 31, 2024 17:17 MYT
NASIONALISME merujuk kepada perasaan cintakan negara sendiri yang mendalam (Kamus Dewan Edisi keempat). Semangat nasionalisme membentuk jati diri seseorang berteraskan kebanggaan terhadap negara, bangsa serta identiti nasional. Ia merupakan perasaan yang mengutamakan kepentingan dan kedaulatan negara serta mengutamakan perpaduan rakyat.
Semangat nasionalisme sering menjadi pendorong kepada usaha untuk mencapai kemerdekaan, mempertahankan kedaulatan dan membangunkan negara dalam pelbagai aspek termasuk politik, ekonomi dan sosial serta mendorong rakyat untuk mencintai tanah air dan mengutamakan kepentingan negara berbanding kepentingan peribadi.
Fakta sejarah mengatakan bahawa bahasa Melayu yang berasal dari rumpun Polinesia telah digunakan oleh pedagang asing yang berurus niaga di rantau ini. Bahasa Melayu berkembang mengikut aturan sejagat apabila menerima pengaruh bahasa Sanskrit dan bahasa Arab akibat penyebaran agama Islam.
Pengaruh bahasa asing lain seperti bahasa Inggeris dan Portugis mula diterima apabila negara-negara Eropah menjajah alam Melayu. Penciptaan dan pembinaan diksi dan kata daripada pengaruh bahasa asing inilah lahirnya ilmu mantik. Menurut Kamus Dewan mantik ialah ilmu bahas akal, ilmu jalan fikiran tentang sebab dan kejadian yang terbit daripadanya. Disebabkan itulah maka wujudnya ilmu mantik Arab di alam Melayu dan ilmu mantik awal Eropah (Mat Rofa Ismail, 2015).
Melalui weltanschauung bangsa Melayu maka telah terciptalah kiasan atau perbandingan yang mengikat peribahasa menjadi analogi untuk kata bicara yang lebih santun, berhemah dan mempunyai daya fikir yang tinggi. Inilah elemen penting terhadap estetika berbahasa dalam kehalusan budi orang Melayu yang bukan sahaja memperkayakan bahasa tetapi juga mencelikkan akal dan mendalami makna.
Tidak dapat dielakkan untuk kita membincangkan tentang nasionalisme dan patriotisme setiap kali menjelang bulan kemerdekaan pada setiap Ogos. Melalui penulisan ini beberapa ungkapan peribahasa akan ditekuni sebagai galakan kepada pembaca untuk memaklumi bahawa dalam peribahasa juga tersiratnya semangat nasionalisme yang mencerminkan tentang pengorbanan, keutuhan bangsa dan kecintaan terhadap negara.
- Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing menggambarkan semangat kerjasama dan kebersamaan dalam menghadapi cabaran demi kepentingan bersama termasuk demi cinta terhadap negara.
Terbukti jelas pengamatan ini menunjukkan kehebatan bahasa Melayu dalam acuan yang tersendiri yang mampu membangkitkan kepentingan perpaduan, pengorbanan dan kebersamaan demi mengekalkan semangat nasionalisme dalam masyarakat.
Unsur nasionalisme dalam peribahasa mengandungi nilai yang mendorong rakyat untuk mengutamakan negara dan bangsa, berkorban demi kedaulatan dan menjaga perpaduan. Melalui peribahasa juga semangat kebangsaan dipupuk dengan cara yang halus namun mendalam sehingga menjadikan peribahasa sebagai alat pendidikan sosial yang penting dalam membentuk jati diri dan semangat cintakan tanah air.
* Azura Halid merupakan pejuang Bahasa Melayu yang kini berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.