[KOLUMNIS] Sektor pertahanan perlu teroka, sedut kepakaran teknologi swasta
Nazli Aziz
Oktober 10, 2024 10:40 MYT
Oktober 10, 2024 10:40 MYT
KECANGGIHAN teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), manipulasi data raya dan analitik serta aktiviti penggodaman rangkaian komputer kini menjadi ancaman yang semakin ketara dan menakutkan.
Inovasi sains dan teknologi serta penciptaan baharu seperti unmanned ariels vehicles (UAV) telah terbukti mampu mengubah kedinamikan dan cara sesuatu pertempuran bersenjata dijalankan.
Dalam konteks keselamatan siber pula, kecanggihan teknologi menyebabkan segala sistem dan prasarana negara dapat dilumpuhkan dengan serangan siber yang terancang.
Jika dahulu, kita hanya melihat perkara sebegini di dalam filem seperti Die Hard lakonan Bruce Willis dan Justin Long atau Blackhat lakonan Chris Hemsworth.
Tetapi kini, wujud dokumentari khas yang memaparkan secara terperinci akan keseriusan serangan dan ancaman siber seperti dalam Zero Days yang diarahkan oleh Alex Gibney pada 2016.
Malah, jika dilihat secara realitinya, sememangnya insiden cybersecurity bukan lagi suatu ancaman yang bersifat teori tetapi sudah menjadi realiti yang semakin nyata.
Sejak bermula pandemik global, terdapat peningkatan sehingga 600 peratus dalam konteks jenayah siber serta peningkatan sehingga 350 peratus serangan ransomware di seluruh dunia.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mendedahkan serangan siber dalam sektor kewangan telah meningkat lebih dari dua kali ganda sejak 2020.
Apabila sektor kewangan atau pasaran ekonomi sesebuah negara diserang ancaman siber, kesan sebenar meretas aspek pengangguran, kerugian material atau tindakan keluar para pelabur.
Sebaliknya, impak yang ditinggalkan mampu mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.
Di Malaysia, kita berhadapan dengan serangan disruptif paling tinggi rantau ini. Ancaman dalam domain ini hadir ekoran operasi seperti state-sponsored cyber-espionage, hacktivism, dan cyber-terrorism.
Perkara ini sekali gus menepis sikat yang melihat pertahanan negara dalam konteks ‘hardpower’ semata-mata.
Sedangkan kesemua insiden dan bukti semasa merumuskan secara jelas bahawa, selain membawa kebaikan dan manfaat tertentu, perkembangan teknologi juga berpotensi memberi ancaman yang besar kepada pertahanan negara.
Teknologi masa hadapan
Lebih merisaukan, kecanggihan teknologi siber dan AI bukan satu-satunya ancaman.
Congressional Research Service yang terletak di bawah Perpustakaan Congress USA pada Januari awal tahun 2024 telah memetik laporan oleh National Defence Strategy pada tahun 2022 dan menyenaraikan ‘emerging technologies’ yang digariskan oleh dilihat berpotensi memberikan kesan disruptif kepada pertahanan nasional negara tersebut.
Ia merangkumi teknologi-teknologi seperti, lethal autonomous weapon systems, hypersonic weapons, directed energy weapons, biotechnology dan quantum technology.
Jadi, adalah tidak memeranjatkan jika penyelidik-penyelidik dari National Defence Studies Institute di negara jiran kita, Thailand, pada tahun lalu telah menerbitkan laporan tentang kepentingan lightweight materials dalam teknologi pertahanan yang dilihat sedang menjadi tumpuan banyak negara.
Perubahan trend
Satu perkara yang mesti diberikan perhatian, perkembangan teknologi-teknologi ini bukan sahaja canggih dan bergerak dengan sangat pantas.
Tetapi, dalam kebanyakan keadaan menjadi forte yang dimiliki secara eksklusif oleh pihak swasta dan syarikat-syarikat korporat.
Keadaan ini membenarkan pengamatan terhadap perubahan trend yang sangat ketara.
Jika dulu, khususnya semasa era Perang Dunia, trend menyaksikan banyak teknologi dan penemuan ketenteraanlah yang akhirnya dikongsi dan diterjemahkan untuk kegunaan dan manfaat orang awam.
Namun, penyelidikan yang dilakukan ke atas industri pertahanan negara Belanda 2 tahun lepas oleh tiga buah universiti dari Itali, Sweden dan Belanda yang melibatkan 21 buah syarikat industri pertahanan,
menunjukkan bahawa dalam beberapa dekad mutakhir ini, terdapat terlalu banyak contoh penggunaan teknologi dan inovasi oleh pasukan tentera hari ini yang sangat bergantung dan dipengaruhi oleh penyelidikan dan penemuan oleh sektor awam.
Jadi, adalah tidak pelik jika negara-negara anggota EU telah bersetuju untuk bersama-sama menyumbang ke dalam satu dana bersama untuk digunakan secara khusus bagi meneroka perkongsian teknologi dan pengetahuan antara tentera dan masyarakat awam.
Perubahan trend ini menunjukan yang pengetahuan dan kemahiran sektor awam kini menjadi sangat kritikal.
Ia mesti diteroka dan dipindahkan secara strategik ke dalam sektor pertahanan agar berupaya membantu memperkasa pasukan tentera dan pertahanan negara.
Apatah lagi dalam konteks pertahanan, we can’t afford to have ‘technological surprises’. Perkara sedemikian akan sangat memberi kesan kepada kedaulatan dan pertahanan negara.
Kerjasama tentera dan swasta
Dalam hal ini, fokus Kementerian Pertahanan di bawah Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahu menjalin hubungan yang lebih erat dengan sektor swasta dan pemain industri pertahanan merupakan satu langkah dan polisi yang tepat.
Perubahan pendekatan seperti itu bukan sahaja berupaya membantu merancakkan penyelidikan dalam bidang ketenteraan dan mengupayakan industri pertahanan tempatan.
Malah, akan membuka ruang kerjasama yang strategik yang boleh memanfaatkan sektor pertahanan dan ketumbukan angkatan tentera kita dengan sewajarnya.
Kesungguhan Kementerian Pertahanan untuk meneroka kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan sektor pertahanan negara dilengkapi dengan teknologi terkini dilihat sangat serius dalam kenyataan serta seruan secara jelas dan terbuka oleh Menteri Pertahanan yang mengalu-alukan penyertaan golongan hackers ke dalam ketumbuhan tentera.
Pelawaan Mohamed Khaled agar golongan hackers menyertai pasukan tentera bukan sahaja sesuatu yang tidak keterlaluan. Malah bersesuaian dan mampu menjawab keperluan semasa.
Selain itu, menurut Menteri Pertahanan, dengan menyempurnakan pelantikan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) yang baharu, institusi tersebut diharap akan mengorak langkah secara agresif sebagai agensi utama dalam menerajui penyelidikan dan inovasi pertahanan negara.
Malah, keseriusan dan kesediaan MINDEF untuk merancakkan kerjasama dan hubungan pemain industri dan peneraju teknologi turut dizahirkan sekali lagi oleh Mohamed Khaled semasa beliau mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan Nasional Republik Korea, Kim Yong Hyun di Seoul pada 11 September lalu.
Yang pasti, sektor pertahanan negara mesti mengambil pendekatan merendah diri dan bersedia membuka seluas-luasnya ruang untuk mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak.
Ini bagi bersama-sama memastikan penerokaan teknologi terkini dapat dilakukan dengan cara terbaik, strategik dan menguntungkan semua pihak.
Semoga pertahanan negara kita akan setanding dengan negara-negara jiran di rantau ini dan sentiasa berupaya untuk berhadapan dengan segala ancaman dan rintangan khususnya yang dipacu oleh kecanggihan dan kemodenan teknologi.
* Prof Madya Nazli Aziz ialah Timbalan Dekan (Bakat & Penyelidikan), Fakulti Perniagaan, Ekonomi Dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.