CADANGAN pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia dan RUU Bernama (2024) telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengamal media, akademia serta masyarakat awam.

Dalam konteks wacana awam, pembingkaian media terhadap kedua-dua RUU ini menjadi faktor penting dalam menentukan sejauh mana penerimaan atau penolakan terhadapnya. Sejauh mana pindaan ini mampu meningkatkan kebebasan media atau sebaliknya mengukuhkan kawal selia kerajaan, menjadi perdebatan yang semakin rancak.

Naratif Kebebasan Media atau Kawalan Kerajaan?

Pembingkaian media terhadap RUU Majlis Media Malaysia Pindaan (2024) menunjukkan dua naratif utama yang dominan. Di satu pihak, pindaan ini dilihat sebagai satu langkah positif ke arah pengukuhan kebebasan media melalui pengawalan kendiri oleh badan bebas yang diwakili pelbagai pemegang taruh industri. Namun, pihak lain pula melihatnya sebagai satu lagi mekanisme untuk meningkatkan kawalan kerajaan terhadap laporan media, khususnya dalam hal yang berkaitan dengan dasar dan politik negara.

RUU ini menggariskan penubuhan sebuah badan yang bertanggungjawab terhadap etika kewartawanan dan pengawalseliaan industri media. Ini bermakna, wartawan dan penerbitan perlu mematuhi garis panduan tertentu yang ditetapkan. Sokongan terhadap RUU ini banyak datang daripada pihak yang percaya bahawa ia akan meningkatkan akauntabiliti media dan meminimumkan penyebaran maklumat palsu.

Sebaliknya, pengkritik RUU ini menegaskan bahawa kawal selia tambahan boleh menjejaskan kebebasan editorial dan memberi tekanan kepada pengamal media untuk menyesuaikan liputan mereka dengan agenda tertentu. Mereka berhujah bahawa kebebasan media yang tulen hanya dapat dicapai apabila pengamal media diberi kebebasan penuh dalam menyampaikan berita tanpa campur tangan pihak berkuasa.

Pembingkaian dalam Media Arus Perdana dan Media Alternatif

Dalam kajian media, pembingkaian berfungsi sebagai alat untuk memahami bagaimana sesuatu isu disusun dan ditonjolkan dalam wacana awam. Media arus perdana cenderung memberikan liputan yang menekankan aspek positif pindaan ini, termasuk usaha kerajaan untuk memperkukuh profesionalisme kewartawanan dan memastikan ketelusan dalam penyampaian maklumat kepada masyarakat.

Sebaliknya, media alternatif dan portal berita dalam talian lebih kritikal dalam pembingkaian mereka. Fokus utama diberikan kepada kemungkinan penyalahgunaan kuasa dan sekatan yang boleh dikenakan ke atas organisasi media di bawah RUU ini. Naratif yang dibawa lebih menonjolkan isu kebebasan bersuara dan kebimbangan terhadap potensi peningkatan penapisan kandungan berita.

RUU Bernama Pindaan (2024) turut mengundang perdebatan. Sebagai agensi berita nasional, Bernama mempunyai peranan penting dalam menyalurkan maklumat rasmi kepada rakyat. Pindaan ini dikatakan akan memberikan lebih autonomi kepada Bernama dalam pengurusan editorial dan operasi. Namun, adakah autonomi ini mutlak atau masih tertakluk kepada kawalan kerajaan? Ini menjadi persoalan utama yang masih diperdebatkan.

Dalam wacana awam, sebahagian pengamal media melihat pindaan ini sebagai satu langkah ke hadapan dalam memastikan Bernama dapat beroperasi dengan lebih profesional dan bebas. Namun, sebahagian lagi berpendapat bahawa pindaan ini tidak membawa perubahan signifikan kerana Bernama masih bergantung kepada peruntukan kerajaan dalam operasinya, menjadikan ia sukar untuk benar-benar bebas.

RUU Majlis Media Malaysia dan RUU Bernama Pindaan (2024) berpotensi mengubah dinamik industri media tempatan. Sekiranya RUU ini benar-benar mengukuhkan kebebasan media, ia boleh menjadi pemangkin kepada budaya kewartawanan yang lebih bertanggungjawab dan profesional. Namun, jika ia lebih cenderung kepada pengawalan berlebihan, maka ia boleh membantutkan kebebasan maklumat dan menjejaskan kredibiliti media di mata masyarakat.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, keseimbangan antara kebebasan media dan kawal selia kerajaan adalah satu keperluan. Pembingkaian media terhadap isu ini akan terus memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi dan sikap masyarakat terhadap hala tuju landskap media Malaysia. Oleh itu, masyarakat perlu lebih kritikal dalam menilai setiap laporan berita dan memahami naratif yang diketengahkan oleh media yang berbeza.

Hala Tuju Pindaan: Antara Reformasi dan Cabaran

Pindaan RUU ini perlu dilihat dari sudut jangka panjang, bukan sekadar perubahan pentadbiran semata-mata. Objektif utama pindaan ini adalah untuk memastikan media tempatan lebih berdaya saing dalam era digital, meningkatkan ketelusan dalam pemberitaan, serta mengukuhkan peranan media sebagai salah satu tonggak demokrasi. Namun, bagi mencapai matlamat ini, beberapa cabaran utama perlu diatasi.

Cabaran utama RUU Majlis Media Malaysia Pindaan (2024) adalah mengawasi media digital dan menangani penyebaran maklumat palsu dalam era kecerdasan buatan (AI). RUU ini perlu menetapkan garis panduan jelas bagi memastikan pemantauan berkesan, mengawal selia peranan AI dalam kewartawanan, serta memperkasa literasi digital masyarakat.

Sementara itu, RUU Bernama menghadapi cabaran mengekalkan autonomi editorialnya di sebalik pembiayaan kerajaan serta bersaing dalam ekosistem media digital. RUU ini perlu menyokong transformasi digital Bernama, memperkukuh strategi penyebaran berita, dan memastikan kebebasan editorialnya terpelihara.

Kejayaan kedua-dua RUU ini bergantung bukan hanya pada kelulusan Parlimen, tetapi juga pada pelaksanaannya yang bebas, telus, dan berintegriti untuk memastikan landskap media Malaysia kekal bebas dan berdaya saing.

Oleh itu, antara strategi yang boleh diambil termasuk memastikan bahawa badan kawal selia yang ditubuhkan benar-benar bebas daripada pengaruh politik, memberikan latihan kepada wartawan untuk meningkatkan profesionalisme dalam pemberitaan serta menetapkan mekanisme semakan berkala bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa dalam pelaksanaan undang-undang ini.

Selain itu, penglibatan masyarakat sivil dan NGO  seperti Institut Akhbar Malaysia (MPI), Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) dalam pemantauan pelaksanaan pindaan ini amat penting. Dengan adanya mekanisme pemantauan yang lebih inklusif, RUU ini boleh menjadi asas kepada landskap media yang lebih bertanggungjawab tanpa mengorbankan kebebasan bersuara.

Perbahasan mengenai RUU Majlis Media Malaysia dan RUU Bernama Pindaan (2024) masih lagi berkembang. Persoalan utama yang perlu dijawab adalah sejauh mana pindaan ini benar-benar menjamin kebebasan media atau sekadar memperkukuh pengaruh kerajaan dalam landskap kewartawanan negara. Dalam era maklumat yang semakin pantas, keupayaan masyarakat untuk menilai sesuatu isu secara objektif amat penting agar kebebasan media dan kepentingan nasional dapat diseimbangkan secara adil.

Penting untuk masyarakat terus mengikuti perkembangan perundangan ini dan memahami implikasinya terhadap kebebasan media. Dengan pendekatan yang lebih seimbang, Malaysia boleh memastikan bahawa media terus berperanan sebagai pemantau demokrasi yang berkesan tanpa dikekang oleh kawalan yang tidak wajar.



* Oleh Shafezah Abdul Wahab & Prof. Madya. Dr. Muhammad Hakimi Tew Abdullah, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM.