[KOLUMNIS] RUU Antilompat Parti: Akhirnya menjadi?

G Manimaran
Julai 27, 2022 11:56 MYT
Undang-undang baharu, Antilompat Parti yang akan diperkenalkan akan secara automatik mengisytiharkan mereka yang keluar parti akan kehilangan kerusi masing-masing. - Gambar fail
SEMALAM Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 bagi menangani aduan mengenai salah laku polis.
Diluluskan melalui undian suara. Ia menjadi kenyataan selepas lebih satu dekad melalui polemik dan debat yang meluas.
Pun begitu, masyarakat sivil dan parti pembangkang dilaporkan melahirkan kebimbangan mengenai kekurangan kuasa penguatkuasaan untuk IPCC bertindak terhadap pegawai polis yang membuat kesalahan.
Hari ini, Dewan Rakyat bakal membahaskan satu lagi RUU yang dinantikan banyak pihak.
Dengan itu, Dewan Rakyat bakal merakamkan satu lagi lipatan sejarah apabila membahaskan RUU melarang antilompat parti.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, RUU Antilompat Parti akan dibentang hari ini dan digulung esok.
Kata beliau: "Jadi saya nak jelaskan di situ, prosedur RUU itu sendiri, semua Ahli Parlimen sudah tahu. Insya-Allah, pada 27 ia akan dibahas dan pada 28 petang, jam 2.30, insya-Allah saya akan menggulungnya.
"Kalau tiada halangan, Ahli Parlimen setuju (dengan RUU itu), kita akan dapat menamatkan dan menyelesaikan perkara itu sebelum pukul 5.30 petang.
"Bagi tujuan itu, libat urus bersama anggota Dewan Rakyat kerajaan dipercayai telah diadakan Isnin lalu manakala bersama barisan pembangkang semalam sebelum dibawa ke Dewan Rakyat untuk perbahasan hari ini."
Difahamkan kandungan rang undang-undang itu sudah berada di atas meja anggota Dewan Rakyat sejak minggu lalu untuk penelitian mereka.
Berdasarkan paparan di laman web Parlimen, RUU itu bertujuan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, dan dimasukkan Subfasal 2(a) bertujuan untuk meminda Fasal (1) Perkara 10. Subfasal 2(b) bertujuan untuk memasukkan Fasal baharu (3a) ke dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang berhubungan dengan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri boleh dikenakan oleh undang-undang Persekutuan.
Undang-undang baharu yang akan diperkenalkan itu akan secara automatik mengisytiharkan mereka yang keluar parti akan kehilangan kerusi masing-masing.
Mereka perlu bertanding dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan jika mahu kembali ke Parlimen.
Bagaimanapun, jika ada parti yang keluar sesebuah gabungan untuk menyertai gabungan lain terkecuali dari istilah 'melompat parti'.
Selepas peringkat nasional, negeri-negeri juga akan mengambil langkah meminda Perlembagaan Negeri masing-masing. Setiap negeri dijangka akan mengikut skop yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan meskipun ada pandangan agar negeri diberi kebebasan untuk mengadakan peruntukan sendiri.
Polemik empat dekad
Polemik mengenai perbuatan lompat parti dan keperluan untuk menghalang perkara tersebut bukan satu perkara baharu. Ia sudah berlaturan sejak lebih empat dekad lalu.
Ada wakil rakyat yang keluar parti dan bertanding semula untuk menguji populariti mereka. Ada yang keluar parti dan menyertai parti lain.
Ada yang bertanding sebagai calon Bebas, kemudian menyokong kerajaan atau menyertai kerajaan yang dibentuk.
Ada juga wakil rakyat yang dikeluarkan oleh parti masing-masing atas masalah disiplin atau dipecat.
Sejak 1992, pandangan agar diadakan peruntukan Antilompat Parti telah diketepikan banyak kali.
Alasannya, ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Agak sukar untuk menerima justifikasi sedemikian. Pada hari ini semuanya berubah 360 darjah. Ia menjadi kenyataan kerana iltizam politik ekoran desakan rakyat.
Antara Mei 2018 dan Jun 2022, seramai 40 ahli Parlimen telah keluar parti atau dipecat oleh parti masing-masing. Ini belum termasuk sejumlah Ahli Dewan Undangan Negeri.
Dalam mempertahankan hak untuk keluar parti dan menyertai parti lain, selama ini kita berpegang kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak setiap rakyat Malaysia terhadap kebebasan untuk bersuara, berhimpun dan untuk berpersatuan.
Kelantan dan Pulau Pinang telah cuba menggubal undang-undang di peringkat negeri pada tahun 1992 dan 2012 tetapi ia dilaporkan bercanggah dengan Perkara 10.
Isunya bukan hak membentuk persatuan tetapi kita perlu juga mempertahankan hak pengundi. Jangan hanya menjaga kepentingan wakil rakyat semata-mata, yang integriti pilihan raya mereka turut menjadi persoalan.
Jangan sampai pengundi terus kecewa dengan tindak-tanduk wakil rakyat - wakil yang dipilih oleh rakyat, tetapi mengabaikan mandat yang telah diberikan.
Banyak perkembangan sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) empat tahun lalu telah membawa impak negatif mendalam dalam kalangan rakyat terutama pengundi yang mengambil bahagian dalam proses memilih kerajaan.
Satu proses yang amat berharga dalam sistem demokratik. Malah, kejadian-kejadian seperti tidak menghargai mandat yang diberikan dan keluar parti, serta perubahan kerajaan berulang kali telah meninggalkan kesan negatif dalam pengundi baharu.
Terutama pengundi berusia 18 tahun ke atas dan mereka yang secara automatik dimasukkan ke dalam daftar pemilih.
Apabila pemilih merasakan mandat atau undi mereka sudah lagi dihargai dan dihormai apa gunanya mengundi dalam pilihan raya akan datang.
Mereka meletakkan soalan apakah jaminan senario yang sama tidak akan berulang selepas PRU-15.
Kita perlu melakukan sesuatu untuk mengelakkan rakyat tidak mahu keluar mengundi. Jangan sampai peratusan keluar mengundi menurun mendadak.
Semua pihak perlu melakukan sesuatu untuk memastikan sikap jemu, jelik dan kecewa untuk menyertai pilihan raya atau politik menjadi satu kekangan besar dalam jangka panjang.
Dewan perundangan mempunyai tanggungjawab bagi memastikan undi yang diberikan kekal bernilai sehingga mandat semasa tidak luput.
Selepas Julai 2019, Parlimen bakal mencipta satu lagi sejarah demi memperkasakan pilihan raya demokrasi dan nilai setiap undi atau mandat.
KRONOLOGI ISU ANTILOMPAT PARTI 2018-2022
2018
• 9 Mei: Buat julung dalam sejarah begitu ramai ADUN dan Ahli Parlimen melompat parti selepas PRU14, sekali gus mencetuskan keperluan mengadakan undang-undang khusus melarang tindakan keluar parti.
2020
• 16 Julai: DUN Selangor meluluskan usul mendesak Kerajaan Persekutuan menggubal Rang Undang-Undang Antilompat Parti.
• 27 Ogos: Salah satu syor laporan Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya yang diserahkan kepada Perdana Menteri termasuklah pembentukan kerajaan yang stabil berdasarkan kerusi majoriti dan pengenalan kepada Pilihan Raya Pecat.
2021
• 5 Mac: Wanita MCA menggesa kerajaan menggubal segera undang-undang antilompat parti sebelum PRU-15 bagi menghentikan budaya 'katak politik'.
• Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Datuk Takiyuddin Hassan berkata, penggubalan Akta Antilompat Parti memerlukan sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen bagi meminda Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
• 2 September: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menghantar suatu notis Usul Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
• 10 September: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tujuh perkara dalam Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan. Salah satunya adalah undang-undang Antilompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.
• 11 September: Kempen Rasuah Busters mengemukakan enam tuntutan reformasi institusi termasuk mengadakan Pilihan Raya Pecat sebagai alternatif segera kepada Akta Antilompat Parti.
• 20 November: Barisan Nasional (BN) memberi komitmen akan memperkenalkan enakmen Antilompat Parti serta meminda peruntukan undang-undang berkaitannya untuk menangani isu lompat parti susulan kejayaan membentuk kerajaan Melaka dengan memenangi 21 kerusi DUN.
• 23 September: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Peguam Negara telah diminta untuk menggubal Rang Undang-undang (RUU) Antilompat Parti.
2022
• 20 Januari: Pakatan Harapan (PH) mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, antaranya membincangkan mengenai RUU Antilompat Parti; mahu ia dibentang dalam sesi Parlimen Mac.
• 17 Februari: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mencadangkan empat perkara asas perlu dipertimbangkan dalam undang-undang berkaitan dengan antilompat parti.
• 24 Mac: RUU Antilompat Parti pertama kali dijadualkan dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 24 Mac lalu, hari terakhir sidang pertama penggal keempat Parlimen ke-14 tetapi tidak menjadi kenyataan.
• 24 Mac: Wan Junaidi memaklumkan bahawa pembentangan RUU Antilompat Parti akan diadakan semasa sidang khas Parlimen pada 11 April.
• 6 April: Wan Junaidi memaklumkan pembentangan RUU Antilompat Parti ditangguhkan lagi. Kabinet tidak bersetuju dengan pembentangan kandungan RUU yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada 11 April.
• 7 April: Pihak kerajaan dan Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik bersetuju untuk mengadakan satu lagi sidang khas Parlimen.
• 11 April: Sidang khas Parlimen diteruskan seperti yang dirancang tetapi tidak membahaskan RUU Perlembagaan (Pindaan) No.3) 2022.
• 11 April: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen telah dibentuk dengan keanggotaan 11 Ahli Parlimen dwipartisan bagi meneliti dan memuktamadkan undang-undang berkaitan.
• 8 Jun: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk menimbang RUU melarang ahli Dewan Rakyat daripada menukar parti telah menyelesaikan tugasnya.
• 14 Julai: Kabinet telah meluluskan draf RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti.
• 27-28 Julai: RUU dijadual untuk dibahaskan.

* Dr G Manimaran ialah penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#Kolumnis AWANI #RUU Antilompat Parti #ahli Parlimen #G Manimaran
;