[KOLUMNIS] RMK-12: Antara aspek yang wajar diberi tumpuan

Lee Lam Thye
September 29, 2021 17:47 MYT
Sistem kesihatan perlu diperkukuhkan dan ditambah segala kemudahan dan infrastruktur bukan setakat di bandar besar tetapi merangkumi segala tempat termasuk luar bandar dan kawasan pedalaman. - Gambar hiasan
KERAJAAN telah membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan memberi fokus untuk mengembalikan pertumbuhan ekonomi sambil membangunkan masyarakat yang inklusif dan seimbang berteraskan konsep Keluarga Malaysia
Pada kesempatan ini, saya ingin mencadangkan agar RMK-12 perlu memberi penumpuan yang lebih mendalam kepada beberapa aspek yang dirasakan penting.
KEBAJIKAN RAKYAT
Sebagaimana yang dapat kita saksikan, semakin ramai dalam kalangan rakyat yang semakin dihimpit kemiskinan dan kesengsaraan hidup.
Pandemik menjadikan ramai yang terkesan dari segi pendapatan dan kualiti kehidupan.
Justeru, usaha kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat haruslah diutamakan dengan memberi fokus yang jelas tentang bagaimana untuk memulihkan ekonomi dan mencipta peluang-peluang untuk menjana pendapatan pada waktu sukar ini.
Keduanya, apabila berbicara soal kebajikan rakyat, kita faham bahawa kerajaan sememangnya sentiasa membantu mereka yang memerlukan seperti golongan B40 dan orang kelainan upaya melalui pemberian elaun bulanan.
Melalui RMK-12 saya berharap agar kerajaan dapat mengkaji semula kadar pemberian pelbagai jenis bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Unjuran ekonomi dan kadar inflasi mungkin boleh menjadi faktor dalam menentukan jumlah bantuan yang perlu dinaikkan pada masa ini.
Apa jua bantuan am bulanan yang diberikan kepada golongan berkenaan mestilah bermakna dan mencukupi untuk menyara kos hidup.
Kerajaan melalui Menteri Ekonomi akan berusaha untuk mengurangkan jurang antara orang kaya dan miskin.
Ini perlu diberikan fokus dan tumpuan sepenuhnya dengan memberikan keutamaan kekayaan kepada negeri negeri yang jauh ketinggalan.
Jurang ini perlu diatasi segera agar semua rakyat Malaysia dapat mencapai matlamat Rukun Negara ketiga iaitu mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.
SEKTOR KESIHATAN
Seterusnya, RMK-12 seharusnya memberi perhatian yang lebih kepada sektor kesihatan yang sememangnya memainkan peranan penting sepanjang pandemik ini.
Kita menyaksikan bagaimana sistem kesihatan awam dan swasta berada di hujung tanduk kerana pandemik yang menular sejak 2019 ini.
Lantaran itu, sistem kesihatan perlu diperkukuhkan dan ditambah segala kemudahan dan infrastruktur bukan setakat di bandar besar tetapi merangkumi segala tempat termasuk luar bandar dan kawasan pedalaman.
RMK-12 seharusnya tidak melupakan fokus terhadap isu yang paling penting buat seluruh rakyat Malaysia iaitu tentang perpaduan.
PERPADUAN
Negara majmuk ini perlukan integrasi yang kukuh dan perpaduan yang utuh untuk terus membangun menjadi negara maju yang unik dan disegani.
Oleh hal yang demikian, perpaduan dan integrasi tidak boleh dilupakan bagi menjayakan segala Rancangan Malaysia yang direncanakan.
Kerajaan boleh menumpukan usaha perpaduan melalui Kementerian Perpaduan yang komited dengan kerjasama NGO untuk memperkasakan perpaduan nasional dan mengangkat kembali rukun negara yang menjadi tulang belakang terhadap pemerkasaan perpaduan negara.
Semoga RMK-12 akan menumpukan aspek kebajikan rakyat tanpa meninggalkan sesiapa pun demi mencapai kesejahteraan bersama.
KOMUNIKASI
Sejak zaman dahulu lagi, komunikasi telah menjadi kunci kemajuan dan kemakmuran. Pada masa ini saluran komunikasi meningkat seperti sebelumnya.
Selain media cetak dan elektronik tradisional, kita perlu mempunyai media sosial untuk mempercepat penyiaran berita dan pandangan ke seluruh dunia.
Surat menyurat pada masa lalu telah digantikan kepada e-mel.
Tetapi dalam masyarakat dan persekitaran yang bergerak pantas hari ini, komunikasi amat bernilai. Kita sekarang harus berdepan dengan berita palsu yang, jika tidak dikesan tepat pada waktunya, akan membawa akibat buruk terhadap masyarakat dan negara.
Akhir-akhir ini kita telah melihat banyak penyiaran negatif di media sosial mengenai kekurangan vaksin COVID-19.
Hal ini mengakibatkan anti-vaxxer yang menyebabkan kelewatan rancangan kerajaan untuk memvaksinasi seluruh penduduk terhadap virus tersebut.
Oleh itu, penting untuk melihat bahawa komunikasi yang betul dapat diperolehi dalam masa yang tepat dan untuk membetulkan berita yang palsu.
Adalah perlu untuk melengkapkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan sumber yang diperlukan untuk mengatasi berita palsu dan negatif secara tempat dan menyeluruh.
Kementerian harus menubuhkan Pasukan Tindak Balas Pantas yang dapat bertindak segera setelah berita palsu muncul.
Komunikasi yang betul dan tepat waktu adalah kunci untuk fungsi demokrasi yang betul.
Penekanan khas harus diberikan kepada keperluan komunikasi di bawah 12 MP.
MASYARAKAT DAN NGO
Seiring dengan kemajuan masyarakat, keperluan dan harapan masyarakat meningkat.
Mereka memerlukan rawatan kesihatan yang lebih baik, kemudahan pendidikan yang lebih baik, kemudahan yang lebih baik dan penyelesaian yang lebih cepat untuk mengatasi masalah secara berkala.
Walaupun kerajaan berusaha untuk memenuhi keperluan ini, ia menghadapi berbagai kekangan dalam memenuhi beberapa keperluan tersebut.
Sungguhpun Ahli Parlimen dapat memenuhi permintaan ini tetapi masih ada jurang antara keperluan dan pelaksanaan.
Di sinilah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan sebagai penghubung.
Mereka memberikan jenis perkhidmatan yang penting untuk melengkapkan usaha kerajaan.
Sebilangan besar daripada mereka telah memberi perkhidmatan selama beberapa dekad dibantu oleh sokongan kewangan terhad dan moral masyarakat.
Kerja-kerja yang baik ini dapat dilakukan dengan lebih berkesan melalui bentuk sumbangan kewangan daripada kerajaan.
Terdapat banyak NGO yang wujud di Malaysia yang berusaha keras untuk menyokong kerajaan mencapai dasar-dasar yang dibuat.
Namun begitu, kekangan kewangan yang dihadapi NGO menyukarkan mereka untuk terus menyokong kerajaan.
Justeru, peruntukan khas untuk NGO adalah insentif yang boleh diambil oleh kerajaan.
Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membantu tetapi masih banyak yang perlu dilakukan.
Akan lebih bermanfaat sekiranya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dapat memperuntukkan lebih banyak dana di bawah 12 MP untuk memenuhi keperluan ini.
KESELAMATAN JALAN RAYA
Salah satu projek yang terbaik jika dilaksanakan di bawah RMK-12 adalah yang membabitkan usaha konkrit untuk menyelamat atau mengurangkan lebih ramai penunggang dan pembonceng motosikal daripada terus terbunuh di jalan raya.
Motosikal merupakan kaedah pengangkutan nombor 1 di Malaysia dengan sekurang-kurangnya 12 juta atau lebih didaftarkan dan jumlahnya bertambah secara mendadak setiap hari, memandangkan ianya pengangkutan utama golongan B40 dalam negara.
Sebelum kemunculan perkhidmatan penghantar makanan melalui motorsikal seperti Grab, Food Panda dan sebagainya, purata lebih 70% daripada anggaran 7,000 orang yang terbunuh setiap tahun dalam kemalangan jalanraya adalah daripada pengguna motosikal.
Sejak dua tahun kebelakangan ini di mana perkhidmatan ini semakin popular, lebih-lebih lagi ekoran pandemik COVID-19 di mana ramai bergantung kepada perkhidmatan ini, lebih ramai lagi yang menemui ajal di jalan raya.
Sebahagian besar yang terbunuh ini adalah di kalangan belia berumur 16 hingga 39 tahun. Motosikal sebenarnya merupakan 'pembunuh' terbesar untuk mereka dalam golongan umur berkenaan.
Ini dengan jelas sekali satu kerugian besar dari segi sumber manusia masa depan negara yang sudahpun memasuki era di mana golongan warga emas semakin meningkat.
Juga satu kerugian besar dari aspek sosio-ekonomi jika ditakrifkan setiap kehilangan nyawa itu dinilaikan dari segi kewangan.
Punca utama kadar kematian yang begitu menggerunkan di kalangan penunggang motorsikal ialah budaya atau tabiat mereka di jalan raya dengan menunggang di lorong utama bergelut dengan kenderaan berat seperti kereta, lori dan sebagainya.
Kadar kematian yang tinggi ini boleh dicegah dengan banyaknya sekiranya dalam RMK-12 kerajaan memperuntukan bajet untuk membina lorong khas terutama di kawasan-kawasan yang sesak dengan kenderaan ini.
Peruntukan yang diperlukan untuk merealisasi objektif murni iaitu menyelamat nyawa ini tidaklah membebankan kerana di kebanyakan lebuh raya dan jalan raya memang sudah mempunyai ruang yang boleh dikhaskan untuk motosikal.
Hanya apa yang diperlukan ialah satu bentuk penghadang atau barrier dibina supaya penunggang tidak terdedah risiko menunggang dengan kenderaan berat.
Di kawasan-kawasan yang sudah terbina lorong eksklusif ini seperti di Lebuhraya Persekutuan dari Petaling Jaya ke Kelang inilah merupakan contoh terbaik.
Laluan motosikal khas di Lebuhraya Persekutuan ini pada hemat saya adalah projek yang terbaik pernah dilaksanakan kerana purata hanya dua kematian dicatatkan di laluan berkenaan setahun berbanding ribuan di kawasan-kawasan tanpa lorong berkenaan.
Memang model ini mungkin agar sukar dilaksanakan di merata tempat tetapi dalam hal ini, disyorkan pihak berwajib dalam pembinaan lebuhraya di negara ini mengadakan lawatan sambil belajar ke satu dua bandaraya di China seperti Guangzhou yang sedia ada dengan lorong khas yang dicadangkan ini.
Semestinya setelah lorong-lorong khas ini dibina nanti apa yang perlu dilakukan ialah pemantauan, penyelengaraan dan penguatkuasaan oleh pihak berwajib seperti polis lalu lintas, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Pihak Berkuasa Tempatan secara konsisten.
Saya yakin jika negara melabur untuk projek yang disyorkan ini, pulangan atau penjimatan dari segi mencegah dan mengurangkan kadar kematian seperti yang disebut di atas akan berlipat-lipat ganda lagi.

* Tan Sri Lee Lam Thye merupakan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Kolumnis AWANI #Rancangan Malaysia Ke-12 #RMKe-12 #Lee Lam Thye
;